‘Datuk Seri’ pukul 3 anggota Rela serah diri

‘Datuk Seri’ pukul 3 anggota Rela serah diri

Lelaki berusia 29 tahun itu menyerah diri di Balai Polis Daerah Ampang, petang ini.

Rela,-Datuk-Seri
PETALING JAYA: Suspek bergelar “Datuk Seri” yang didakwa memukul 3 anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) di sebuah tokong di Jalan Ampang, Jumaat lalu, menyerah diri hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, SAC Fadzil Ahmat berkata, lelaki terbabit menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya kira-kira 4 petang tadi.

“Kes itu disiasat mengikut Seksyen 186 (menghalang tugas penjawat awam) dan Seksyen 324 Kanun Keseksaan (mendatangkan kecederaan),” katanya ketika dihubungi FMT hari ini.

Beliau berkata, polis akan memohon perintah reman ke atas suspek di Mahkamah Majistret Ampang, esok.

Dalam kejadian kira-kira 6.30 pagi Jumaat lalu, Melvin Cheong Mun Khai, 19, Lee Weng Poh, 27, dan Leong Jiun Jie, 21, cedera di kepala, mata serta perut selepas mendakwa dipukul dan ditendang suspek bergelar “Datuk Seri” itu.

Kejadian dikatakan bermula apabila mereka meminta lelaki terbabit mengalihkan Toyota Vellfire miliknya yang mengganggu lalu lintas, namun dia enggan berbuat demikian.

Semalam, Fadzil dilaporkan berkata, pihaknya sudah mengenal pasti identiti suspek yang berusia 29 tahun itu.

Sehubungan itu, beliau meminta suspek tampil menyerah diri bagi membantu siasatan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dipetik Utusan Online semalam turut memberi amaran kepada lelaki terbabit supaya segera menyerah diri kepada polis.

Beliau berkata, gelaran atau pangkat bukan merupakan lesen untuk mengambil tindakan kekerasan terhadap orang lain, terutamanya petugas beruniform.

Hari ini, Ketua Rela Daerah Ampang, Ho Hoong Keong dipetik China Press berkata, sejak semalam hingga hari ini, beliau dihubungi 4 lelaki yang menawarkan masing-masing RM10,000 kepada beliau serta 3 anggota Rela dipukul itu untuk menarik balik laporan polis dibuat mereka.

Ho bersama 3 mangsa itu pada sidang media hari ini berkata, mereka tidak tunduk kepada mana-mana kuasa jahat dan tidak akan menerima wang ditawarkan mereka.

‘Orang tengah’ tawar RM40,000 batal kes ‘Datuk Seri’ pukul Rela

Zahid arah ‘Datuk Seri’ serang anggota Rela serah diri

Polis: ‘Datuk Seri’ pukul 3 Rela berusia 29 tahun

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.