Bajet 2018: PAS pesan Najib jangan abai 3 juta pekerja sektor swasta

Bajet 2018: PAS pesan Najib jangan abai 3 juta pekerja sektor swasta

AJK PAS Pusat Azman Ibrahim berkata Najib tidak harus mengabaikan kebajikan 3 juta pekerja sektor swasta yang akan buat keputusan pada pilihan raya nanti.

Azman-Ibrahim
PETALING JAYA: PAS menasihatkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak agar jangan mengabaikan jutaan pekerja sektor swasta, selepas mengumumkan bonus RM1,500 kepada pekerja sektor awam dalam Bajet 2018.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Azman Ibrahim berkata Barisan Nasional tidak harus mengabaikan kira-kira 3 juta pekerja sektor swasta yang berpotensi menjadi pengundi pada pilihan raya nanti, selepas mengumumkan imbuhan untuk 1 juta pekerja sektor awam dalam belanjawan negara Jumaat lepas.

“Tiga juta ini sedang memerhatikan dan menilai lantas nanti mereka akan membuat keputusan atas kertas undi…Jangan sampai mereka rasa mereka adalah warga kelas ke-3,” katanya lapor Harakah Daily.

Azman berkata, ada banyak cara meraikan pekerja sektor swasta melalui Bajet 2018, antaranya mengumumkan tambahan pelepasan cukai khas bagi tahun taksiran 2017 berjumlah RM1,500.

“RM1,500 bukannya banyak dan tidak cukup pun untuk makan sebulan tetapi ia akan membuatkan kakitangan swasta rasa dihargai,” katanya.

Dalam pembentangan bajet 2018 27 Oktober lepas, Najib berkata bonus RM1,500 itu akan dibayar 2 kali iaitu pada awal Januari sebanyak RM1,000 dan bakinya RM500 dibayar menjelang sambutan Aidilfitri.

Pesara pula menerima RM750, RM500 dibayar pada awal Januari dan bakinya juga dibayar menjelang sambutan Aidilfitri.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.