
China Press memetik sumber dalam kegiatan mesin kuda mendakwa operasi yang dilakukan polis kali ini berbeza dengan dahulu kerana pihak berkuasa melakukan serbuan secara kerap bagi membasmi aktiviti haram itu.
Akhbar itu melaporkan walaupun ada di kalangan mereka yang meneruskan aktiviti itu secara diam-diam, tetapi tidak kurang juga yang takut mengambil risiko dan mula mengambil langkah untuk beralih kepada perniagaan lain secara beransur-ansur.
Difahamkan, ada di kalangan pengendali perjudian haram itu menghubungi kenalan yang menceburi bidang sama di dalam dan luar negara untuk menjual peralatan komputer dan mesin judi secara murah.
Akhbar itu melaporkan ada pula mencari pembeli menerusi media sosial seperti Facebook.
Pada 29 September lalu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, SAC Fadzil Ahmat dipetik Bernama berkata, seramai 3,785 individu ditahan dalam 3,132 serbuan ke atas premis judi dalam talian di negeri itu sejak Januari hingga Ogos tahun ini.
Katanya, tindakan itu seiring arahan Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim untuk membanteras sindiket dan pusat perjudian haram.
Beliau berkata, polis akan terus memantau pusat hiburan keluarga berlesen di bawah Enakmen Hiburan Selangor 1995 dan seterusnya mengambil tindakan mengikut Akta Rumah Judi Terbuka 1953, jika pemilik dikesan menjalankan kegiatan perjudian.