
Siapa yang tak kenal bijian halba berwarna perang keemasan? Mungkin mereka yang tak pernah menghidu bau dapur atau memasak belum berkenalan lagi dengan “super seed” ini.Halba kerap digunakan dalam masakan Melayu dan India tetapi kini tidak diendahkan golongan muda yang memilih untuk memasak dengan mudah.
Malah, ramai daripada kita tidak tahu keperluan sebenar menggunakan bijian halba dalam masakan justeru mengabaikan terus rempah tersebut dalam masakan.
Sebenarnya halba adalah bijian kaya dengan nutrisi seperti asid amino, kalsium, asid lemak, folat, zat besi, magnesium, mangan, fosforus, potassium, selenium, zink dan vitamin B1, B2, B3 dan vitamin C.
Pada zaman dahulu, ia banyak digunakan dalam perubatan tradisional untuk merawat pelbagai penyakit dan sebagai penenang kesakitan ketika kelahiran anak.
Di bawah, FMT Ohsem menyenarai 5 manfaat biji halba paling utama yang mana boleh menggerakkan anda untuk menggunakannya sebagai sebahagian bahan masakan sihat.
1. Merendahkan tahap kolestrol
Halba membantu merendahkan tahap kolestrol khususnya kolestrol lipoprotein densiti rendah (LDL). Sumber steroidal saponins dalam halba terkenal dalam mengelakkan penyerapan kolestrol dan trigliserida.
2. Meningkatkan penghadaman
Halba digunakan sebagai ubat bagi masalah penghadaman sejak berzaman. Antara masalah berkaitan ialah sakit perut, sembelit dan radang perut. Ini kerana halba kaya dengan serat dan antioksidan justeru membantu membersihkan semua toksin berbahaya dalam badan.
3. Mengurangkan keradangan dalam tubuh
Halba juga kaya dengan nutrien anti radang yang membantu pelbagai masalah berkaitan kulit seperti terbakar, pedih dan ekzema. Biji halba juga terkenal untuk menghilangkan kesan parut.
4. Membantu merawat masalah kulit
Halba sangat berkesan kepada kulit, gunalah sebagai topeng muka. Ia membantu mengelakkan jeragat, jerawat, kedutan dan sebagainya. Mungkin ada dah ada sebab untuk membeli halba selepas ini!
5. Meningkatkan susu badan kepada ibu
Agen galaktagog dalam halba meningkatkan sumber susu dan menggalakkan pengaliran susu badan. Ia menstimulasi duktus alveolar dan meningkatkan pengeluaran susu ibu dalam masa hanya 24 jam.