Bajet Alternatif: PH tak galak tubuh wilayah China seperti Forest City

Bajet Alternatif: PH tak galak tubuh wilayah China seperti Forest City

Pakatan Harapan juga berhasrat menangguhkan pelaksanaan projek ECRL yang dibiayai Beijing.

Laluan-Kereta-Api-Pantai-Timur-ecrl-china
KUALA LUMPUR: Pakatan Harapan (PH) tidak akan menggalakkan penubuhan wilayah China seperti Forest City di Johor yang bertentangan dasar pembentukan komuniti antara pedagang asing dan rakyat Malaysia.

Gabungan 4 parti pembangkang itu menerusi Bajet Alternatif 2018 yang diumumkan hari ini juga berhasrat menangguhkan pelaksanaan projek Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) yang dibiayai Beijing sehingga kajian semula manfaat kos dan potensi pengganda ekonomi selesai.

“Walaupun PH sangat risau dengan perkembangan China dalam elemen keselamatan yang sensitif, seperti bekalan tenaga dan pelabuhan kita, kami akan menghormati perjanjian-perjanjian yang telah ditandatangani kerajaan.

“Sebagai sebuah kerajaan yang bertanggungjawab, tindakan pertama kami adalah untuk menerbitkan secara umum semua dokumen dan kontrak berkaitan tawaran-tawaran ini dan jika perlu mendapatkan kerjasama China untuk merunding semula syarat tidak adil jika ada.”

PH berkata, mereka tidak yakin dengan anggaran kos RM60 hingga RM70 bilion untuk ECRL yang disifatkan sangat tinggi sehingga tidak memanfaatkan ekonomi negara.

“Sebagai tindak balas kepada tuntutan itu, kami mendapati sejumlah wang itu lebih baik digunakan untuk melabur dalam pembangunan Lebuhraya Pantai Timur dan bukannya ECRL,” kata PH menerusi belanjawan bertemakan “Belanja Berhemah, Potong Cukai, Pilih Harapan”.

Bagi projek Kereta api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura, PH beranggapan projek itu bermatlamat membuka pasaran China ke Malaysia, bukannya memenuhi keperluan pengguna bagi kedua-dua bandar raya itu.

“Projek ECRL dan HSR sekarang dikategorikan sebagai pinjaman kepada Malaysia. Model ini di mana China adalah pembiaya dan kontraktor sudah pasti bukan dalam kepentingan terbaik Malaysia.

“Sebaliknya, perkongsian kami dengan China mestilah berdasarkan perkongsian ekuiti dan kontraktor bersama untuk berkongsi dan bertukar pengetahuan dan teknologi.”

Sehubungan itu, PH mahu menjemput China menjadi rakan kongsi ekuiti, bukannya pembiaya projek mega yang membebankan generasi akan datang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.