Pelacuran menyusup ke dalam kem pelarian Rohingya

Pelacuran menyusup ke dalam kem pelarian Rohingya

Kebanyakan pelacur adalah gadis bawah umur, kanak-kanak yang hanya makan tidak lebih sekali sehari dan tidak ke sekolah.

Pelacuran-rohingya
Sekumpulan pelarian Rohingya menunggu bantuan makanan di Kutupalong di Cox’s Bazaar, Bangladesh (Reuters).

COX’S BAZAR: Dalam kesusahan wanita Rohingya mendapatkan perkara asas seperti makanan dan air di kem pelarian yang terlalu padat di Bangladesh, menawarkan khidmat seks menjadi jalan keluar bagi mendapatkan sumber kewangan.

Empat wanita memasuki sebuah pondok lumpur yang disapu bersih, menanggalkan selendang hitam mereka dan duduk bersila atas lantai.

Ditanya sama ada mereka menawarkan perkhidmatan seks, mereka kelihatan tidak selesa dan enggan menjawab.

Selepas beberapa cawan teh, soalan itu ditanya semula. Mereka melihat sesama sendiri.

Dengan perlahan salah seorang daripada mereka berjalan merentasi bilik dan menutup pintu, seorang lagi menutup tingkap. Kegelapan menyelubungi pondok kecil yang lembap itu dan suara mereka mula menjadi perlahan seperti bisikan.

“Jika sesiapa tahu apa yang kami lakukan, mereka akan bunuh kami,” bisik Romida, 26.

Lebih daripada 600,000 etnik Rohingya iaitu kumpulan minoriti Islam di Myanmar, melarikan diri daripada serangan tentera Myanmar sejak akhir Ogos lepas. Mereka lari ke sempadan selatan Bangladesh di mana krisis pelarian paling pesat di dunia sedang berlaku.

Di Kutupalong, kem terbesar di situ, sebuah industri seks sedang berkembang. Ramai pekerja seks adalah penghuni yang sudah lama mendiami kem di Bangladesh, tetapi kemasukan puluhan ribu lagi wanita dan kanak-kanak perempuan dijangka meningkatkan lagi industri itu.

“Sekurang-kurangnya 500 pelacur Rohingya tinggal di Kutupalong,” kata Noor yang bekerja sebagai tukang atur di situ. Tetapi ramai yang sudah lama tinggal di kem itu yang ditubuhkan pada 1992.

“Perekrut kini sedang memerhati mereka yang baru sampai,” tambahnya.

Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) berkata mereka tiada jumlah mengenai bilangan pekerja seks di kem itu untuk didedahkan secara rasmi.

“Sukar untuk memperoleh bilangannya dan kami tidak mengumpul data mengenai berapa bilangan pekerja seks di kem itu,” kata Saba Zariv, pakar kekerasan berdasarkan jantina di Tabung Penduduk Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFPA).

Bimbang

Menurut laporan Tabung Kanak-kanak PBB (Unicef), dalam kekecohan kem yang tidak teratur, kanak-kanak dan remaja boleh menjadi mangsa pedagang haram dan mereka yang mahu mengeksploitasi dan memanipulasi kanak-kanak dan remaja.

Warga Rohingya sering menutup sebelah mata tentang pelacuran walaupun mereka datang daripada komuniti Islam konservatif yang sangat rapat.

“Semua menganggap seperti ia tidak wujud,” kata Noor.

“Perempuan-perempuan itu bertemu pelanggan warga Bangladesh di luar kem. Mereka tidak meniduri warga Rohingya lain. Komuniti kami sangat rapat dan khabar angin boleh tersebar dengan cepat. Setiap perempuan mahu kelihatan suci.”

Kebanyakan pelacur adalah kanak-kanak yang hanya makan tidak lebih sekali sehari dan tidak ke sekolah. Mereka bekerja secara rahsia tanpa pengetahuan ibu bapa mereka.

Rena, 18, yang sudah tinggal di kem itu sejak 10 tahun lalu dipaksa mengahwini seorang kaki botol 2 tahun lalu.

“Dia berkelakuan kasar dan memukul saya,” katanya menceritakan tentang suaminya yang bertindak ganas terhadapnya dan melarikan diri sewaktu dia melahirkan anak lelaki pertamanya. Beliau kemudiannya tidak mampu menyusukan anaknya.

“Sejak itulah saya memutuskan untuk menjadi pekerja seks. Saya hanya berusia 16 tahun dan saya sangat terdesak. Saya perlukan wang.”

Kamru pula yang berusia 14 tahun, juga memberikan perkhidmatan seks. Kamru tiba beberapa tahun lalu dalam satu gelombang pelarian Rohingya sebelum ini. Beliau tidak pernah berpeluang untuk ke sekolah kerana keluarganya terlalu miskin.

“Kem itu sahaja yang saya ingat. Saya membesar di sini tetapi saya sentiasa lapar,” kata remaja itu yang seperti wanita dan perempuan lain, tidak mahu dinamakan.

Latar belakang pelacur Rohingya

Pekerja seks berkongsi ciri-ciri sama iaitu kemiskinan, ahli keluarga yang bertindak ganas, dan kekurangan wang yang menjadikan mereka cukup lemah untuk diperdagangkan dalam industri seks di kem pelarian.

“Jika agensi bantuan tidak mampu menyediakan mereka dengan perkara asas, risiko pemerdagangan manusia akan meningkat. Jika kita tidak dapat wujudkan mekanisme yang kukuh di sini dan bantuan berkurangan, kita akan lihat tahap pemerdagangan meningkat,” kata Lisa Akero, pakar perlindungan jantina di Gerakan Persatuan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah Antarabangsa (IFRC).

Romida dibelenggu kelaparan dan kekurangan zat di kem pelarian, lalu melihat pelacuran sebagai satu-satunya cara beliau boleh meneruskan kehidupan.

“Saya beritahu diri saya, saya akan melakukan apa saja. Saya tiada pilihan.”

Pelanggan pertamanya adalah seorang rakan warga Bangladesh yang meyakinkannya untuk melakukan hubungan seks pada harga 1,000 Taka (RM50).

“Dia memberi bayaran lumayan,” katanya ketika mengingati peristiwa itu.

“Harga semasa adalah 200 Taka (RM10) dan tukang atur saya mengambil separuh daripadanya.”

Perniagaan itu biasanya diuruskan menerusi panggilan telefon, dengan barua yang akan memaklumkan kepada perempuan-perempuan itu ke mana dan siapa mereka patut bertemu.

Secara purata, Romida biasanya akan mendapat 3 pelanggan setiap minggu dan beliau tidak berani ambil risiko mengambil lebih daripada jumlah itu kerana bimbang didapati terjebak dalam pelacuran.

“Kadangkala saya terpaksa sehingga ke bandar Cox’s Bazar yang mengambil masa 2 jam perjalanan. Bila-bila saya meninggalkan kem, saya terpaksa membuat alasan. Saya menyamar kononnya melawat saudara atau mengambil syif di pasar.”

Wanita Rohingya bertemu lelaki dengan pelbagai latarbelakang, daripada pelajar universiti sehinggalah ahli politik tempatan.

Dalam satu perbualan ringkas menerusi telefon, Ali, seorang pelajar warga Bangladesh berusia 23 tahun, memberitahu Reuters yang dia kadangkala meniduri pelacur tetapi apabila berkahwin dia mahu seorang isteri yang masih dara.

Kebanyakan pelanggan tidak menggunakan kondom, kata wanita-wanita itu.

“Saya mengambil suntikan perancang kehamilan tetapi hari-hari saya bimbang tentang HIV,” kata Romida sambil mengatakan beliau tidak pernah menjalani ujian untuk penyakit berjangkit melalui seks.

Ruang selamat

Setengah jam perjalanan dari kem berlumpur yang kecoh, dikelilingi sawah padi hijau, badan kebajikan tempatan Pulse telah mendirikan rumah selamat untuk pelarian yang boleh menempatkan sehingga 30 wanita.

Bakal dibuka dalam beberapa hari lagi, apartmen dengan gaya asrama itu diperbaharui dan bakal ada seorang pakar psikologi di situ.

“Wanita yang datang ke sini mungkin tidak mahu bercakap tentang apa yang berlaku dalam kehidupan mereka kerana mereka mungkin dalam bahaya,” kata pengurus tempat tinggal itu, Kurshida Aktar, yang juga berkata beliau mengalu-alukan semua wanita termasuklah mangsa rogol, ibbu tunggal dan pekerja seks.

“Kami menyediakan peluang untuk wanita membina semula hidup mereka, mendapat akses untuk perkara asas, mempunyai ruang untuk bercakap dan menerima latihan kerja,” kata Aktar.

Tetapi 4 wanita Rohingya yang bersetuju untuk bercakap dengan Reuters tidak tahu kewujudan perkhidmatan seperti itu (rumah kebajikan oleh Pulse).

“Kami tidak bertanya tentang itu kerana bimbang didapati terjebak dalam pelacuran” kata Kamru yang paling muda antara mereka.

Beliau keluar dari rumah itu dan menyarungkan burqa hitamnya yang menutup keseluruhan badannya kecuali mata.

“Saya terpaksa menanggalkannya apabila bersama pelanggan warga Bangladesh saya,” katanya.

“Tetapi di kem saya kekal memakainya supaya tidak dikenali.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.