
Pengerusi Felda, Tan Sri Shahrir Samad menyifatkan tuduhan ahli Parlimen Pandan itu sangat berat dan fitnah besar.
“Esok, FIC akan bincang untuk (saman) sebab kes ini serius. Tidak ada syarikat baharu didaftarkan sebab syarikat yang disebut ditubuhkan adalah milik FIC.
“Jadi, apa perlu kita tubuh syarikat baharu?” katanya pada sidang media di luar Dewan Rakyat hari ini.
Khamis lalu, Rafizi mendakwa pemilik Hotel Grand Plaza Kensington di London, FIC London Hotel Pte Limited (FLH) yang didaftarkan di British Virgin Islands (BVI) sudah ditutup.
Naib presiden PKR itu mendakwa warta rasmi kerajaan BVI bertarikh 19 Mei 2016 menyenaraikan FLH dibatalkan pendaftaran dan dibubarkan kerana tidak membayar yuran tahunan.
Semalam pula, Rafizi mendakwa anak syarikat FIC itu hanya didaftarkan pada 13 Oktober lalu, iaitu hari sama beliau membuat pendedahan mengenai firma itu tidak memiliki hotel di London.
Bagaimanapun, Pengerusi FIC, Datuk Syed Mohamed Syed Ibrahim semalam mengesahkan FLH serta FIC Global Limited (FGL) yang didaftarkan di BVI ialah hak milik penuh FIC dan merupakan syarikat asal yang didaftarkan untuk pelaburan di United Kingdom.
Beliau turut mengesahkan FLH ialah pemilik tunggal The Park City Grand Plaza Kensington Hotel di London, manakala FGL merupakan pemilik tunggal Felda House dan Grand Felda House di London.
Semalam, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Razali Ibrahim dipetik Malaysiakini sebagai berkata, tiada syarikat didaftarkan pada 13 Oktober 2017 seperti didakwa Rafizi, sebaliknya tarikh dipaparkan pada dokumen pendaftaran syarikat itu adalah tarikh pengesahan salinan dokumen itu.
Mengulas lanjut, Shahril mendakwa Rafizi kononnya membuat pendedahan mengenai FIC itu berdasarkan maklumat palsu yang merujuk laporan media.
“Ini maklumat palsu berasaskan berita tidak tepat. Sebagai seorang pakar, dia (Rafizi) kena menentukan maklumat yang betul sebelum membuat kenyataan,” katanya.
Pada sidang media sama hari ini, Razali meminta rakyat tidak mempercayai dakwaan Rafizi yang dibuat berdasarkan andaian sendiri.
“Dia (Rafizi) dari dulu pun banyak perkara yang dibina sebuah andaian yang dia percaya adalah benar.
“Kita ambil contoh Tabung Haji. Dia bina satu cerita ada pendeposit bawa keluar duit, NFC sampai ke mahkamah dia putuskan apa yang dicerita itu tidak betul dan Felda termasuk 1MDB dibina satu cerita disebabkan maklumat yang diperolehi sebab dia obses, sebab mungkin dia rasa dia yang terbaik dalam percukaian di negara ini.
“Ramai rakyat kita percaya sangat dengan Rafizi. Bila kita jawab, mereka tak percaya. Nak wujudkan ketidakpercayaan rakyat kepada kerajaan, dia (Rafizi) tidak bagi rakyat percaya laporan Berita Harian, TV3, RTM, jadi orang tak percaya kepada kerajaan.”
Rafizi desak Najib, Shahrir jelaskan status pelaburan FIC di London