
Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof berkata jajaran sepanjang 7.4 km itu dijangka menyelesaikan masalah kesesakan di sekitar ibu kota terutama kawasan Jalan Segambut, Jalan Kuching, Rawang dan Kepong.
“SDL juga akan menambah baik sistem penyuraian trafik sekitar Jalan Lang Emas, Jalan Taman Bukit Maluri, Kepong dan Penchala selain menjimatkan masa kira-kira 10 minit,” katanya ketika merasmikan jajaran tersebut hari ini.
Fadillah berkata dianggarkan 30,000 pengguna akan menggunakan jajaran itu setiap hari.
Jajaran SDL menghubungkan Persimpangan Bertingkat Manjalara menghala ke Timur untuk berhubung dengan Persimpangan Bertingkat Segambut di Jalan Segambut.
Fadillah berkata jajaran itu juga dilengkapi kemudahan hentian Rehat dan Rawat (RNR) yang merangkumi kemudahan tempat meletak kenderaan, plaza tol dan lot komersial.
“Lebuh raya ini dilengkapi dengan 2 plaza tol iaitu Plaza Tol Segambut dan Plaza Tol Sentul Tambahan dan sebanyak 6 lorong disediakan bagi kedua-dua hala,” katanya.
Pengguna juga bakal menikmati pengecualian tol selama sebulan bermula tengah malam ini sehingga 22 Nov depan.
Pembukaan Jajaran SDL melengkapkan projek Lebuhraya DUKE fasa 2 yang melibatkan kos sebanyak RM1.183 bilion selepas pembukaan jajaran pertama Tun Razak Link (TRL) 28 Sept lalu.