
China Press melaporkan ketika kejadian, pemandu Grab berusia 18 tahun itu sedang mengambil seorang penumpang yang merupakan doktor di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian.
Semalam, wakil pemandu Grab, Azizi Ismail cuba menyerahkan memorandum bantahan kepada pengurus besar lapangan terbang itu, tetapi beliau tiada dalam negeri.
Azizi kemudian mengadakan perbincangan lebih 30 minit dengan Pengerusi Persatuan Teksi Lapangan Terbang, Abdul Rahsid Mamat dan mereka sepakat menunggu kepulangan pengurus besar itu pada 28 Oktober ini untuk tindakan lanjut.
Dalam perbincangan itu, kedua-dua pihak agak beremosi dan saling tuduh-menuduh, namun tiada pergaduhan berlaku.
Rashid berkata, pemandu Grab terbabit melanggar arahan Malaysia Airport Berhad dengan mengambil penumpang di pintu D.
Sehubungan itu, beliau tampil memberi penjelasan kepada pemandu Grab berkenaan yang didakwa menekan minyak dan hampir melanggarnya.
Akhbar itu melaporkan pemandu teksi lain yang menyaksikan keadaan itu segera menghalang pemandu Grab terbabit dan pergaduhan berlaku antara kedua-dua pihak.
Beliau menyifatkan kejadian itu hanya salah faham dan memohon maaf kepada mangsa serta membuat laporan polis pada malam kejadian.
Katanya, beliau tidak akan campur tangan jika pemandu Grab itu mengambil penumpang di pintu C.
“Persatuan membayar sewa RM9,448 kepada pihak pengurusan lapangan terbang setiap tahun, oleh itu hanya pemandu teksi boleh mengambil penumpang di pintu D.”
Azizi berkata, pemandu Grab yang cedera itu ialah orang baharu dan pihaknya sudah membuat laporan polis dengan penumpang terbabit sedia menjadi saksi di mahkamah.