
Naib Ketua Pemuda PAS Pusat, Ahmad Fadhli Shaari berkata pemasangan bendera boleh berlangsung dengan aman jika tidak diganggu oleh Amanah.
“PAS tidak samseng, PAS cuma hadir untuk pasang bendera sahaja tanpa sebarang provokasi. Ia boleh berlangsung dengan aman tanpa sebarang masalah jika tiada gangguan,” katanya kepada FMT.
Beliau mendakwa Wisma Tok Guru sah milik PAS berdasarkan geran diperolehi parti itu, dan Husam yang juga Adun Salor sepatutnya mengosongkan bangunan itu.
“Ia telah sah menjadi milik PAS melalui geran yang sudah dikeluarkan. Proses jual beli telah berlangsung dengan sempurna. Tiada sebarang keraguan.
“Pihak kami ialah pemilik sah kepada bangunan tersebut dan berhak untuk mengakses selagi tidak mengganggu hak penghuni sebagaimana termaktub di dalam notis,” katanya.
Semalam, Ketua Pemuda Amanah Kelantan, Hazmin Hassan mendakwa PAS membuat provokasi dengan memasang bendera PAS di bangunan Wisma Tok Guru itu.
Wisma Tok Guru menjadi pertikaian apabila Setiausaha Kerja PAS Kelantan dikatakan membeli bangunan yang dijadikan bangunan pejabat Amanah itu daripada balu Datuk Rosli Ibrahim, pemilik bangunan itu.
Sedangkan menurut Husam, ketika hayatnya, Rosli dalam suratnya kepada Husam menyerahkan tapak bangunan itu untuk digunakan oleh beliau sampai bila-bila.
Dalam majlis perasmian nama bangunan itu, Rosli juga mengesahkan tanah itu diserahkan kepada Husam untuk digunakan.
Selain Fadhli, program “Jom Pasang Bendera” di sekitar bangunan itu turut disertai Ketua Pemuda PAS, Mohamad Khalil Abdul Hadi.
Ia menimbulkan kekecohan apabila Pemuda Amanah dengan bantuan Pemuda Pakatan Harapan Kelantan bertindak menghalangnya.
Mengulas lanjut, Fadhli yang juga ketua Pemuda PAS Kelantan mendakwa pihaknya sudah memberikan notis kepada Husam untuk mengosongkan bangunan itu pada 14 Oktober lalu dan tempoh selama 30 hari.
Bagaimanapun, beliau berkata bangunan itu masih belum dikosongkan lagi.
“PAS telah memberikan notis kepada penghuni. Penghuni wajib mengosongkan kawasan terbabit sebelum atau pada tarikh tamat tempoh seperti yang dimaklumkan dalam notis tersebut.
“Adapun pemasangan bendera di tepi jalan itu tidak menggangu bangunan walaupun ia telah menjadi milik PAS,” katanya.