Wilayah Quebec di Kanada larang penjawat awam berniqab

Wilayah Quebec di Kanada larang penjawat awam berniqab

Dasar itu yang akan dikuatkuasakan mulai 1 Julai 2018 menyasarkan penjawat awam seperti guru, anggota polis, pekerja hospital dan pengasuh.

niqab
QUEBEC: Quebec pada Rabu meluluskan undang-undang mengharamkan penjawat awam memakai niqab, dasar yang dikritik kumpulan hak asasi sebagai meminggirkan wanita Islam di wilayah Kanada yang majoriti penduduknya berbahasa Perancis.

Undang-undang yang akan dikuatkuasakan mulai 1 Julai 2018 bagaimanapun tidak menyatakan dengan jelas jenis penutup muka yang diharamkan. Sebahagian besar perdebatan mengenai dasar itu memfokuskan niqab yang dipakai sesetengah wanita Islam yang menutup keseluruhan muka, kecuali mata.

Individu terjejas akibat dasar itu termasuklah penjawat awam seperti guru, anggota polis, pekerja hospital dan pengasuh.

Seperti Perancis yang melarang pemakaian niqab, salib dan simbol agama lain di sekolah pada 2004, Quebec berusaha memulihkan identiti sekularnya dengan jumlah penduduk Islam semakin meningkat yang kebanyakannya ialah pendatang dari Afrika Utara.

“Kami berbuat demikian atas sebab berkaitan komunikasi, pengenalan dan keselamatan. Perkhidmatan awam harus diberi dan diterima dengan wajah terbuka,” kata Gabenor Quebec, Philippe Couillard kepada pemberita di Dewan Negara.

“Kita hidup dalam masyarakat yang bebas dan demokratik. Anda bercakap dengan saya, saya harus nampak wajah anda, dan anda sepatutnya nampak wajah saya juga. Semudah itu,” katanya.

Majlis Kebangsaan Islam Kanada bagaimanapun bimbang dengan kelulusan dasar itu dan mengkaji pilihan undang-undangnya.

“Undang-undang ini adalah pelanggaran kebebasan agama yang tidak wajar,” kata Pengarah Eksekutifnya, Ihsaan Gardee.

Dasar itu bagaimanapun memberi pengecualian dalam keadaan tertentu, namun tiada butiran terperinci diberikan. Kaedah pelaksanaan dasar baharu itu belum diumumkan.

Ditanya sama ada beliau akan mencabar undang-undang itu, Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau yang mewakili daerah Montreal berkata, beliau akan terus memastikan semua rakyat Kanada dilindungi piagam hak dan kebebasan negara sambil “menghormati pilihan yang boleh dibuat dewan perundangan berbeza.”

Perancis, Belgium, Belanda, Bulgaria dan negeri Bavaria di Jerman melaksanakan sekatan ke atas pemakaian purdah di tempat awam, dan ia akan disusuli Denmark.

Beberapa kumpulan ekstremis sayap kanan dan media tempatan berbahasa Perancis kebelakangan ini menyasarkan umat Islam di Quebec dalam perdebatan lebih luas mengenai penyesuaian agama dan budaya minoriti di wilayah itu.

Kejadian berkaitan Islamofobia di Quebec meningkat beberapa tahun kebelakangan ini. Januari lalu, 6 terbunuh dalam satu kejadian tembakan di sebuah masjid di bandar Quebec dan seorang pelajar universiti Perancis-Kanada didakwa sebagai suspek tunggal.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.