Zamihan cabar Khalid buktikan dakwaan dilindungi ‘godfather’

Zamihan cabar Khalid buktikan dakwaan dilindungi ‘godfather’

Sekiranya Khalid gagal berbuat demikian, maka beliau salah seorang pemimpin Amanah yang "suka berbohong" dan "gemar memfitnah" individu yang berbeza fahaman.

zamihan-khalid2
PETALING JAYA: Presiden Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah Malaysia (Aswaja) Zamihan Mat Zin hari ini mencabar Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Abdul Samad membuktikan dakwaan beliau dilindungi individu berpengaruh.

Beliau berkata, sekiranya Khalid gagal berbuat demikian, maka beliau salah seorang pemimpin Amanah yang “suka berbohong” dan “gemar memfitnah” individu yang berbeza fahaman agama dengannya.

Beliau menuntut Khalid membuat permohonan maaf secara terbuka atas kenyataan yang “jelas berniat jahat” dan cuba merosakkan imejnya atau berdepan tindakan undang-undang.

“Kenyataan Khalid bukan saja cuba memburukkan imej saya malah beliau dilihat suka mengambil kesempatan terhadap isu yang tercetus demi kepentingan politik beliau khususnya pembangkang,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Semalam, Khalid mendakwa Zamihan dilindungi oleh seorang individu yang berpengaruh.

Pemimpin Amanah itu menambah individu itu kini cuba mengadap Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, untuk merayu bagi pihak Zamihan kerana kenyataan mengkritik Sultan Johor baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Zamihan turut menyatakan bahawa beliau bersedia untuk bersemuka dengan Khalid bagi mencari kebenaran mengenai isu terbabit.

“Wacana berkenaan boleh diadakan dalam bentuk diskusi, forum mahupun debat di mana-mana lokasi yang beliau tetapkan.

“Sebagai seorang pemimpin beliau harus cermat dan tidak sepatutnya membuat tuduhan melulu tanpa sebarang bukti,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.