Zaid: Raja-raja Melayu dalam bahaya bila ‘Taliban’ berkuasa

Zaid: Raja-raja Melayu dalam bahaya bila ‘Taliban’ berkuasa

Bekas menteri beri amaran 'Taliban' tidak iktiraf pemerintahan beraja.

zaid-taliban
PETALING JAYA: Bekas menteri undang-undang Datuk Zaid Ibrahim hari ini memberi amaran raja-raja Melayu dalam bahaya kerana “Taliban” tidak mengiktiraf kedudukan mereka di negara ini.

Dalam beberapa siri Twitter, beliau berkata: “Raja-raja Melayu akan berada dalam bahaya apabila Taliban dibantu pemerintahan korup di negara ini. Taliban tak terima pemerintahan beraja.

“Taliban itu mereka yang percaya perlembagaan kita haram, buatan manusia, dan mengatakan orang Melayu yang tak sokong mereka kafir.”

Ahli DAP itu kemudian mengajukan soalan kepada parti komponen Barisan Nasional (BN): “Taliban tak iktiraf orang bukan Islam sebagai warganegara, mempunyai hak yang sama. Komponen BN faham ke tak?

“Orang bukan Islam boleh berada di sini atas kurnia dan izin mereka. Mereka boleh diberi kebebasan, kalau dibenarkan Taliban. Komponen BN faham ke tak?

Zaid dipercayai merujuk kepada “Talibanisasi” Malaysia seperti yang dilihat dalam beberapa peristiwa yang memenuhi muka depan di negara ini.

Ini termasuk penceramah Zamihan Mat Zin mengadu mengenai kritikan Sultan Johor terhadap kedai dobi untuk orang Islam sahaja di Muar. Dalam video yang sama, Zamihan menggambarkan orang Cina Malaysia sebagai tidak bersih.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Asyraf Wajdi Dusuki dalam kenyataan baru-baru dilaporkan berkata kerajaan BN akan pastikan negara ini menjadi negara Islam.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.