Peguam: Zamihan dibebas, mahkamah tolak permohonan lanjut reman

Peguam: Zamihan dibebas, mahkamah tolak permohonan lanjut reman

Peguamnya, Fakhrul Azman Abu Hassan berkata, pihak polis memohon supaya Zamihan direman sehingga Isnin ini, namun tidak mendapat kebenaran mahkamah.

zamihan-mat-zin-dibebaskan-awal-dari-tahanan
KUALA LUMPUR: Presiden Ahli Sunnah Wal Jamaah Malaysia (Aswaja), Dr Zamihan Mat Zin, yang direman berhubung isu mengkritik Sultan Johor dalam kontroversi dasar perniagaan dobi untuk orang Islam sahaja, dibebaskan dengan jaminan polis hari ini.

Peguamnya, Fakhrul Azman Abu Hassan berkata, pihak polis memohon supaya Zamihan direman sehingga Isnin ini, namun tidak mendapat kebenaran mahkamah.

“Ustaz dibebaskan lebih awal kerana bantahan yang kami buat kepada mahkamah berkaitan kes hasutan yang dikenakan terhadap ustaz.

“Ia bukan 1 kesalahan yang tidak boleh dijamin. Ustaz dibebaskan sekitar jam 2.30 petang tadi,” kata beliau kepada pemberita di luar Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, hari ini.

Zamihan, yang juga pegawai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bagaimanapun tidak kelihatan kerana dipercayai menaiki kenderaan MPV miliknya dari dalam kawasan ibu pejabat polis Dang Wangi.

Fakhrul berkata, sepanjang direman Zamihan memberikan kerjasama yang baik sewaktu diambil keterangan dan pihaknya turut menunggu arahan-arahan lanjut dari polis.

“Ustaz OK. Dalam keadaan sihat. Polis juga berikan layanan yang baik.

“Mengenai saman yang akan kita lakukan, ia akan dibincangkan kemudian. Hari ini kita hanya lihat kes jenayah ini. Tindakan sivil mungkin kita akan putuskan kemudian,” katanya.

Pembebasan Zamihan itu turut disambut ahli keluarganya yang turut hadir ke IPD Dang Wangi.

Abang sulung Zamihan, Mohd Zaimi Md Zin berkata, secara dasarnya beliau tidak melihat adiknya itu melakukan sebarang kesalahan, sebaliknya hanya menyuarakan pendapat mengenai betapa pentingnya menjaga akidah.

“Saya secara peribadi terkilan. Saya nampak banyak kes yang berlaku, tetapi tidak diadili secara saksama. Banyak pihak yang hina agama Islam tetapi tidak pula didakwa.

“Tetapi saya faham ini melibatkan sultan dan pihan tertinggi. Mungkin polis ambil tindakan atas dasar berkenaan,” katanya.

Jelasnya, Zamihan sejak kecil lagi sememangnya bersuara lantang malah tegas dalam kalangan adik beradiknya.

Sebelum ini, Ketua Pengarah Jakim, Tan Sri Othman Mustapha, berkata sudah memanggil Zamihan untuk mendapatkan penjelasan berhubung dakwaan terbabit.

Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) turut mengeluarkan arahan menggantung sementara semua kuliah atau ceramah yang disampaikan Zamihan.

Zamihan ditahan kerana hasutan

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.