Isu Zamihan: Jamil, ketua Jakim akan hadap Sultan Johor

Isu Zamihan: Jamil, ketua Jakim akan hadap Sultan Johor

Ia selepas tindakan Zamihan Mat Zin mengkritik Sultan Johor mengenai isu kedai dobi 'mesra Islam' dan Sultan Ibrahim Sultan Iskandar melarang Jabatan Agama Islam Negeri Johor berurusan dengan Jakim.

Jamil-Khir-Baharom-sultan-johor-dobi-mesra-muslim
PETALING JAYA: Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan ketua pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan memohon menghadap Sultan Johor mengenai isu Dr Zamihan Mat Zin.

“Jakim amat menyanjung tinggi titah Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkaitan Jakim hari ini,” kata Tan Sri Othman Mustapha dalam kenyataan di Facebook yang merujuk larangan Sultan Johor untuk Jabatan Agama Islam Negeri Johor (Jainj) berurusan dengan Jakim selepas ini.

Sultan Ibrahim hari ini dilaporkan berkata, Jakim juga tidak perlu memberi pandangan kepada Johor, yang mana semua orang tahu urusan berkaitan agama adalah di bawah kuasa negeri seperti termaktub dalam perjanjian Persekutuan.

Sultan Johor turut menyifatkan Zamihan yang merupakan pegawai kader Jakim di Penjara Kajang sebagai “tin kosong yang tiada otak” dan angkuh, “seolah-olah dia sahaja yang betul dan mencerca bangsa lain”.

“Kalau betul dia penceramah Jakim, saya tidak tahu dari mana Jakim pungut dia, selepas ini juga saya mengarahkan Jainj tidak perlu lagi buang masa berurusan dengan Jakim.

“Beberapa orang mufti dan pakar agama telah keluarkan pandangan dan hujah mereka berkaitan perkara ini, namun malangnya ada pula seorang penceramah bernama Ustaz Zamihan Mat Zin yang mengkritik tindakan saya dan memperlekeh mufti-mufti tersebut,” kata Sultan Johor yang dipetik Sinar Harian Online.

Ahad lalu, Zamihan menerusi rakaman ceramahnya di Masjid Diraja Tengku Ampuan Jemaah, Bukit Jelutong, Shah Alam, mengkritik Sultan Ibrahim mengenai isu kedai dobi “mesra Islam” di Muar.

Presiden Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah (Aswaja) itu menyokong kedai dobi khas untuk umat Islam dengan berkata, pandangan Sultan Ibrahim itu “tidak patut”, sambil menyifatkan orang bukan Islam kotor sehinggakan pakaian mereka tidak boleh bercampur aduk dengan pakaian orang Islam.

“Cina biasa kencing berak tak basuh. Bagaimana tentang darah haid mereka, pada pakaian dalam mereka, peluk dakap anjing, minum arak, tumpah arak, makan babi, sup babi. Itu semua sinonim dengan mereka,” kata Zamihan yang baru dibebaskan petang tadi daripada tahanan reman 3 hari di bawah Akta Hasutan.

Selasa lalu, Majlis Raja-raja Melayu turut mengecam dasar perniagaan untuk “orang Islam sahaja” sebagai tindakan bersifat keterlaluan yang boleh menjejaskan keharmonian dan membawa implikasi lebih mendalam, jika berkaitan atau dilakukan atas nama Islam.

Sultan Johor kecam Zamihan tin kosong, angkuh

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.