Zamihan, ‘penghuni gua’ dengan senarai musuh yang panjang

Zamihan, ‘penghuni gua’ dengan senarai musuh yang panjang

Kontroversi terkini melibatkan pegawai Jakim, Zamihan Mat Zain, bukan sesuatu yang mengejutkan kepada mereka yang mengikuti pertelagahan sesama agamawan di Malaysia.

zamihan
PETALING JAYA:
Penangkapan Zamihan Mat Zin petang semalam mungkin tidak mengejutkan mereka yang mengikuti kenyataan dan ceramah pegawai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) itu.

Semalam, polis mengumumkan Zamihan, yang giat menyampaikan ceramah agama di serata negara di samping terlibat dalam pelbagai program kendalian Putrajaya, ditangkap untuk siasatan di bawah Akta Hasutan, selepas kuliahnya di sebuah masjid di Shah Alam Sabtu lepas menjadi viral.

Zamihan, 41, berasal dari Gua Musang, Kelantan. Mungkin kerana itu, beliau menggelar dirinya “Al-Ghari”, yang bermaksud “penghuni gua” dalam bahasa Arab.

Nama Zamihan mula menjadi bualan ramai selepas tersebar ceramahnya mempersoalkan pendirian Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bulan lalu berkenaan sebuah kedai dobi yang enggan menerima pelanggan bukan Islam.

Malah, Zamihan turut mencabar tindakan terhadapnya kerana mengkritik pendirian istana: “Inilah Ustaz Zamihan, presiden Aswaja,” katanya menegaskan kepada hadirin mengenai kelantangannya.

Tetapi ia bukanlah satu-satunya kenyataan kontroversi daripada Zamihan, yang kerap mempromosikan agendanya melalui pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah Malaysia (Aswaja), sebuah NGO yang melawan mana-mana aliran Islam yang pada pandangannya tidak menepati cita rasa Melayu Islam yang bermazhabkan Shafie.

Tidak berapa lama dulu, Zamihan terlibat dalam perang mulut dengan Mufti Perlis Datuk Mohd Asri Zainal Abidin, orang yang dituduhnya sebagai mendalangi ajaran Wahabi, suatu bentuk fahaman Islam kontroversi yang menjadi ikutan rasmi agamawan Arab Saudi.

Pertembungan mereka sudah berlaku sejak sekian lama. Perbezaan yang awalnya berlegar pada isu fekah dan aqidah, kemudian meletus secara terbuka dalam ceramah Zamihan.

Malah Zamihan menuduh Asri dan bekas mufti Perlis yang sealiran Asri, Datuk Juanda Jaya, mempunyai kaitan dengan kumpulan Jemaah Islamiah (JI), kumpulan militan yang ada hubungan dengan Al Qaeda yang satu masa dulu menjadi sasaran pihak berkuasa di rantau Asia Tenggara.

Kenyataan kasar merupakan antara sikap yang memisah Zamihan dengan penceramah agama lain. Pernah sekali, beliau memanggil Asri “mufti anjing”, selepas kenyataan Asri yang berkata Islam tidak melarang umatnya memelihara anjing.

Zamihan juga di dalam ceramah pernah memberikan gelaran “mu yang kafir!” kepada seorang penceramah agama di Malaysia.

Pada Februari 2016, Zamihan mencabar Asri berdebat dengan beliau atas apa saja topik sekalipun, dengan meletakkan syarat Asri letak jawatan sebagai mufti sekiranya tewas. Debat tersebut dihalang pihak berkuasa.

Beberapa hari selepas itu, Zamihan yang pada masa itu bertugas di Bahagian Keselamatan dan Ketenteraman Awam di Kementerian Dalam Negeri (KDN)‎, dipindahkan ke Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) serta merta, dalam apa yang didakwa ada kaitan dengan kontroversi debat antara beliau dan Asri.

Kafir harbi

Ketika kontroversi seorang mufti menggunakan istilah “kafir harbi” tahun lalu, Zamihan mempertahankan istilah tersebut.

Bagi Zamihan, istilah itu selari dengan ajaran Al-Quran.

“Istilah kafir harbi, dulu kini dan selamanya relevan digunakan, berdasarkan nas Al-Quran.

“Bila sebut kafir harbi, bukan bererti semuanya dihukum bunuh, ini menampakkan kelestarian Islam. Hukuman itu bergantung kepada tahap mereka memerangi Allah dan Rasul, mereka kena bunuh kalau mereka membunuh,” kata Zamihan yang kadang kala diberi jolokan “Ustaz KDN”.

Zamihan tampak seorang individu yang cepat memanjangkan senarai musuhnya, daripada ahli politik sehinggalah akademik tempatan.

Beberapa minggu sebelum pilihan raya umum 2013, Zamihan mengeluarkan kenyataan adalah berdosa mengundi calon yang tidak menyokong rang undang-undang meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) atau RUU 355 yang ditaja PAS.

“RUU 355 ini undang-undang Islam, bukan liberal atau sekular. Jadi kenapa kita sebagai orang Islam harus menolaknya?

“Kenapa sebagai ahli Parlimen undang-undang British mereka sokong, sedangkan undang-undang Islam tidak? Ahli Parlimen jenis apa kalau macam itu,” katanya.

Tidak kurang menjadi sasaran serangan Zamihan ialah Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Zulkifli Mohamad.

Pada 8 Jun lalu, Zamihan membuat pembentangan kepada Majlis Agama Islam Selangor (Mais) dengan memberikan bukti Zulkifli “menyeleweng” sambil menuduhnya membawa ajaran Wahabi.

“Mereka telah menyaksikan sendiri bahawa Sahibus Samahah Datuk Mufti WP tidak menolak satu pun data-data yang saya bentangkan di hadapan beliau sendiri waktu itu.

“Tiada siapa dapat menolak bukti secerah mentari pagi,” kata Zamihan.

Permulaan kejatuhan?

Zamihan selama beberapa tahun bebas daripada tindakan pihak berkuasa. Malah, beliau kerap dipanggil menghadiri forum membanteras keganasan, termasuk bersama Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay.

Tetapi ucapan Zamihan mengkritik Sultan Johor, yang rakamannya menjadi viral dan mengundang kecaman pelbagai pihak, memaksa pihak berkuasa tidak boleh berdiam diri.

Zamihan ketika berucap di Masjid Diraja Tengku Ampuan Jemaah, Bukit Jelutong, Shah Alam tidak setuju dengan Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang mahu sebuah kedai dobi “mesra Islam” di Muar ditutup kerana diskriminasi terhadap pelanggan bukan Islam.

“Ada sultan kata ‘dobi mesra Muslim tak patut diadakan di negeri beta’, dan ‘ini bukan negeri Taliban…’? Tak patut Tuanku Sultan cakap macam itu,” kata Zamihan.

Zamihan turut membuat kenyataan terhadap masyarakat Cina di Malaysia.

“Cina biasa kencing berak tak basuh. Bagaimana tentang darah haid mereka, pada pakaian dalam mereka, peluk dakap anjing, minum arak, tumpah arak, makan babi, sup babi. Itu semua sinonim dengan mereka,” katanya.

Pada hari sama laporan FMT mengenai klip video itu menjadi tular, Majlis Raja-raja mengeluarkan kenyataan menyokong pendirian Sultan Johor, sambil mengecam golongan yang bersikap keterlaluan atas nama Islam sehingga menjejaskan keharmonian kaum.

Sehari kemudian, Zamihan yang sebelum ini berkata beliau tidak gentar dengan kritikannya terhadap raja, menafikan ucapannya merujuk Sultan Johor. Tetapi dalam kenyataan sama, beliau memohon ampun kepada Sultan Ibrahim, sambil menyerang beberapa media atas talian.

Semalam, Jakim berkata pihaknya akan merujuk Zamihan ke lembaga disiplin selepas mendengar penjelasannya.

Sama ada beliau akan didakwa atau tidak, imej Zamihan sudah pasti tercalar, baik di kalangan umat Islam, bukan Islam mahupun pihak berkuasa agama yang cuba menjauhkan diri daripada pandangannya.

Masa depan Zamihan hampir pasti ditentukan melalui siasatan kes hasutan terhadapnya. Ini termasuk statusnya sebagai orang yang mendepani program agama kerajaan, termasuk program pemulihan bersama Jabatan Penjara.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.