1 subjek 1 buku kerja sahaja, kata Kementerian Pendidikan

1 subjek 1 buku kerja sahaja, kata Kementerian Pendidikan

Para guru tidak sepatutnya menggunakan buku kerja ketika sesi pengajaran dalam kelas bagi mengelakkan murid yang tidak membeli buku tersebut daripada teraniaya.

Chong-Sin-Woon-education
PUTRAJAYA:
Kementerian Pendidikan mengingatkan pihak sekolah untuk hanya membenarkan 1 buku kerja sahaja bagi setiap satu mata pelajaran Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR) untuk murid Tahun 4 hingga Tahun 6.

Timbalan Menterinya Datuk Chong Sin Woon berkata perkara tersebut menjadi perhatian kementerian kerana terdapat aduan kebiasaannya pada hujung tahun mula diedarkan senarai cadangan pembelian buku kerja bagi kegunaan murid untuk tahun depan.

“Saya telah maklumkan kepada pihak kementerian untuk meneliti perkara ini bermula sesi persekolahan 2018 kerana isu ini sudah lama wujud terutamanya di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC).

“Penggunaan buku kerja ketika sesi pengajaran bukanlah satu cara betul kerana buku teks disediakan kementerian sudah mencukupi dan buku kerja hanylah tambahan,” katanya pada sidang media hari ini.

Jelasnya, penggunaan buku kerja yang banyak bukan sahaja tidak mematuhi arahan pekeliling tetapi juga tidak sesuai untuk kementerian melaksanakan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia yang menekankan unsur Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) dalam kalangan murid.

Beliau berkata Surat Pekeliling Ikhtisas Bil 1/2000 jelas menyatakan penggunaan buku kerja tidak dibenarkan kepada murid Tahap 1 (Tahun 1 hingga Tahun 3) kerana buku latihan aktiviti telah disediakan oleh Bahagian Buku Teks, Kementerian Pendidikan.

“Manakala bagi murid Tahap 2 (Tahun 4 hingga Tahun 6) hanya satu judul buku pelajaran dibenarkan untuk tiap satu mata pelajaran Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR) iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains serta Bahasa Cina dan Bahasa Tamil masing-masing untuk SJKC dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil.

Katanya pemilihan buku kerja harus dilakukan oleh panitia mata pelajaran masing-masing yang akan mencadangkan buku kerja yang paling sesuai dari segi isi kandungan, mutu dan harga.

“Pembelian buku kerja hanyalah satu cadangan dan ibu bapa masih boleh memilih untuk tidak membeli kerana tiada unsur paksaan,” katanya.

Menurutnya bagi melaksanakan dasar tersebut para guru tidak sepatutnya menggunakan buku kerja ketika sesi pengajaran dalam kelas bagi mengelakkan murid yang tidak membeli buku tersebut daripada teraniaya.

“Kami juga mendapat aduan daripada ibu bapa mengatakan senarai buku kerja yang perlu dibeli adalah terlalu banyak hingga berjumlah ratusan ringgit dan ini beban besar kepada sesetengah keluarga,” katanya.

Katanya peringatan dalam pekeliling tersebut juga untuk makluman kepada ibu bapa kerana sesetengah ibu bapa mahu anak mereka dibekalkan dengan buku kerja yang banyak.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.