Kassim Ahmad pergi dengan aman, kata waris

Kassim Ahmad pergi dengan aman, kata waris

Tiada susah payah, katanya, dan menambah cara dia meninggal dunia seolah-olah dia bersama Tuhan.

kassim-memory-1
KULIM:
Ahli keluarga Kassim Ahmad menerima pemergian cendekiawan itu hari ini, dan anak perempuannya berkata Kassim pergi dengan tenang.

Anaknya yang tidak mahu dinamakan itu berkata pada waktu-waktu terakhir hayat bapanya, beliau berbisik meminta supaya bertahan sehingga cucunya dari Australia datang menemuinya.

“Sebaik tiba cucu sulungnya, dia menghembuskan nafas terakhir. Dia sangat tenang. Dia pergi dengan aman. Wajahnya seolah berseri.

“Cara dia meninggal dunia seolah-olah seperti bersama Tuhan dan orang yang beriman. Tanpa susah payah,” kata wanita itu, kini berusia 50-an, ketika ditemui di kediaman Kassim di Kulim Golf and Country Resort hari ini.

Mengenang kembali masa lalu, beliau berkata Kassim menjalani kehidupan dengan penuh semangat dan insan yang paling berpengetahuan dalam keluarganya meskipun berusia lanjut.

Katanya, rutin harian Kassim ialah membaca laman berita dan blog serta membaca Al-Quran.

“Beliau selalu berpesan supaya membaca Al-Quran setiap hari dengan minda yang kritikal. Beliau juga berkata jangan ikut semua hadis atau ulama, kerama semua itu ciptaan manusia. Bapa saya selalu berkata ‘Al-Quran adalah jalan sebenar’.”

Anak perempuannya berkata beberapa hari sebelum Kassim koma, beliau mengingatkan mereka mengenai “Kun Fayakun”, atau “Jadilah, maka jadilah ia,” dalam bahasa Arab.

“Beliau berpegang kepada petikan Al-Quran itu sepanjang hidupnya.

“Bapa saya juga berpegang dengan satu lagi prinsip Al-Quran iaitu ‘tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati’ dari surah Ali’Imran. Jadi baginya kematian itu sentiasa dekat,” katanya.

Cucu sulung Kassim, Adam Parkins, 20, berkata beliau akan meneruskan legasi datuknya di Australia.

“Saya bertemu datuk saya tahun lalu, dan dia tanya saya mahu tak jadi sepertinya suatu hari nanti.

“Saya jawab, ya. Saya mahu jadi sepertinya,” kata penuntut jurusan pengurusan pembinaan itu.

Anak Kassim, Ahmad Shauqi Kassim, 50, berkata beliau akan meneruskan perjuangan menuntut pampasan daripada kes mahkamah yang dimenangi bapanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.