
“Saya bagi menteri tempoh seminggu memohon maaf atau diheret kedua-dua ke mahkamah. Buktikan saya dibayar, oleh siapa saya dibayar. Saya minta kerjasama tunjukkan akaun saya kalau saya dibayar. Akaun Perbak bukannya banyak duit,” kata Presiden Perbak Muhammad Khairul Hafiz Abdullah kepada pemberita di Putrajaya hari ini.
Pada 25 September lepas, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) membuat laporan polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berhubung penularan video “Suara anak tong sampah” di media sosial yang mendakwa rumah kebajikan JKM mengabaikan penghuninya.
Dalam video itu, Khairul mendakwa seramai 1,758 individu yang keluar daripada pusat jagaan JKM masih tidak mendapat status warganegara. Beliau menyalahkan JKM yang didakwa tidak menjalankan tanggungjawab sehingga menyebabkan anak-anak bekas jagaan jabatan tersebut hanya mendapat status pemastautin sementara.
Menteri Datuk Seri Rohani Abdul Karim dilaporkan berkata pihak kementerian sudah bertemu dengan individu dalam video berkenaan dan “dia mengaku yang dia dibayar untuk itu”.
“Perkara itu sudah selesai pada tahun 2012. Namun, pihak yang tidak bertanggungjawab mula mengitar semula video lama untuk mempolitikkan isu berkenaan dan menjejaskan imej kementerian dan JKM,” kata Rohani pada satu sidang media.
Khairul bagaimanapun sedia mempertahankan video itu dan nama baik persatuan.
“Saya cabar beliau di mana mengatakan saya dibayar untuk mengeluarkan video tersebut dan saya cabar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) siasat akaun saya,” katanya.
Khairul berkata hanya pada tahun ini, 28 September lepas, kerajaan mengumumkan kad pengenalan sementara untuk bekas jagaan JKM, namun fungsi kad dan sama ada kad diperakui semua agensi kerajaan dipertikaikan Perbak.
“Kenapa wujudkan kad ini? Ia bermaksud tuduhan dalam video adalah benar,” kata Khairul.
Beliau mendakwa dirinya sendiri terpaksa “hidup merempat” selama 6 tahun selepas keluar daripada pusat jagaan JKM di Durian Daun, Melaka, sehingga mendapat taraf kewarganegaraan pada 2011.
“Ini bukan isu politik tapi kemanusiaan. Tapi anak JKM bila merempat tepi jalan baru mereka sedar isu ini wujud,” tegasnya.