
Bercakap kepada FMT, Brigedier Jeneral (B) Datuk Mohd Arshad Raji berkata bajet menyelenggara aset seharusnya dipertingkatkan setiap tahun.
“Apabila bajet bagi (penyelenggaraan aset) ini dikurangkan, nescaya ATM akan menghadapi kesukaran bagi memastikan segala aset perang berada dalam keadaan kesiapsiagaan yang tinggi,” katanya yang melahirkan kebimbangan mengenai pengurangan bajet pertahanan.
Sabelum ini, kerajaan memperuntukkan RM15.1 bilion kepada Kementerian Pertahanan dalam Bajet 2017 dan daripada jumlah itu, RM1.8 bilion untuk penyelenggaraan aset.
Laman web DefenseNews menyatakan peruntukan 2017 mewakili penurunan 13% berbanding Bajet 2016.
Mengenai pembelian aset baharu, Arshad berkata pembelian boleh dilakukan mengikut keutamaan pengguna.
“Saya percaya ATM sudah pun ada senarai keutamaan mereka dan perolehan dibuat berdasarkan kemampuan kewangan.
“Apa yang tidak harus berlaku dan tidak boleh diterima sama sekali adalah campur tangan politik dalam menentukan keutamaan perolehan aset baru,” katanya.
Mengulas isu sama, penganalisis pertahanan Lam Choong Wah berpendapat kerajaan seharusnya meningkatkan bajet untuk pertahanan negara.
Bagaimanapun, menurutnya ia mempunyai halangan kerana ekonomi negara masih dalam keadaan yang lemah.
“Maka adalah munasabah membuat rancangan pertahanan yang seimbang. Bajet yang sepatutnya dapat menjaga operasi dan rutin latihan ATM.
“Serta memperolehi kelengkapan yang memenuhi keperluan segera seperti kelengkapan dalam memerangi Abu Sayyaf, Sulu dan lanun,” katanya.
Beliau turut berpendapat perolehan kelengkapan canggih dan mahal juga seharusnya dikaji sepenuhnya oleh kerajaan terutamanya dari segi impak kepada ekonomi negara seperti Sistem Kawalan dan Amaran Udara (Awacs), pesawat pejuang baharu atau kapal selam.