
Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) berkata program itu bukan kali pertama dan tidak menjadi kesalahan kerana ia mengingati sejarah Umno yang menurutnya adalah parti yang menyumbang kepada kemerdekaan negara.
“Guru-guru dan pelajar di sekolah itu juga melakukan aktiviti itu tanpa paksaan. Kalau melihat guru tak ada masalah dan mereka seronok nyanyi lagu Umno,” kata Presiden GPMS Zamri Mohd kepada FMT.
“Ia hanya untuk sambut kemerdekaan dan ada faktor sejarah.”
Sebuah rakaman menunjukkan murid sekolah di Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 14(1) mengambil bahagian dalam pertandingan bertemakan “Umno dan Kemerdekaan #Negaraku”.
Dalam acara itu, bendera Umno dipasang di seluruh sekolah. Para murid juga mengibarkan bendera Umno dan menyanyikan lagu parti.
Sepanduk “Hidup Umno, Hidup Melayu. Dulu, Kini dan Selamanya” dinaikkan di pentas.
Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang turut menyertai program itu menggesa para guru menyertai Umno, dan menggulung ucapannya dengan laungan “Hidup Umno!” oleh murid sekolah.
Ia mengundang kritikan beberapa pemimpin pembangkang.
Pengerusi Persatuan Hak Asasi Manusia Kebangsaan, Datuk Ambiga Sreevivasan, berkata Tengku Adnan membawa politik ke sekolah.
“Kanak-kanak tidak boleh diheret ke dalam politik kepartian di sekolah. Jelas sekali ini tanda-tanda Umno terdesak.”
Zamri bagaimanapun berkata guru juga dibenarkan menjawat jawatan parti politik.
“Saya rasa tidak ada masalah,” katanya.
Zamri menolak sekiranya program itu dianjurkan berikutan Umno terdesak untuk menarik sokongan terhadap parti itu,
“Pelajar sekolah bukannya boleh mengundi. Nyanyi lagu Umno sebab mereka boleh kenal apa itu Umno. Guru-guru pula kita tidak paksa terpulang kepada mereka untuk buat pilihan,” katanya.