Naib canselor USIM mahu bertemu duta Oman

Naib canselor USIM mahu bertemu duta Oman

Naib canselor itu berkata perkara itu sangat mendukacitakan USIM dan menggambarkan seolah-olah USIM tidak mempunyai kualiti.

Dr-Musa-Ahmad
NILAI: Naib Canselor Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof Datuk Dr Musa Ahmad berkata beliau mahu bertemu Atase Kebudayaan Oman untuk mendapatkan penjelasan bersabit larangan ke atas pelajar negara itu daripada mengikuti pengajian di USIM.

“Saya harap mendapat penjelasan daripada beliau sendiri tentang mengapa USIM dikategorikan dalam 4 universiti di Malaysia yang pelajar Oman dihalang mengikuti pengajian,” katanya kepada pemberita.

Dilaporkan larangan turut melibatkan Universiti SEGI, Universiti Teknologi Kreatif Limkokwing dan Universiti Pengurusan dan Keusahawanan yang antara lain dikatakan 4 universiti ini tidak bekerjasama dalam menyelesaikan kesukaran dihadapi pelajar Oman.

Musa berkata perkara berkenaan sangat mendukacitakan USIM dan menggambarkan seolah-olah USIM tidak mempunyai kualiti.

“Pada hari pertama berita ini tersebar, saya mengadakan perbincangan dalaman. Malah saya sudah berjumpa dengan beberapa pemimpin pelajar Oman yang menuntut di sini dan mereka menunjukkan sokongan padu kepada USIM dan mereka sendiri tidak nampak logik larangan itu.

“Pihak universiti mempunyai hubungan baik dengan kerajaan Oman selama ini dan berhasrat terus mengekalkan hubungan baik yang sedia terjalin. Kita sentiasa bersedia membuat penambahbaikan kepada kekurangan tanpa berkompromi mengenai kualiti pendidikan tinggi yang USIM tawarkan,” katanya.

Beliau berkata kini terdapat 126 pelajar Oman berstatus aktif sedang melanjutkan pengajian di peringkat Sarjana dan Doktor Falsafah dalam pelbagai bidang di USIM.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.