
Timbalan Pendakwa Raya Iskandar Ahmad dalam kenyataan pembukaan pada hari pertama perbicaraan memberitahu hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Azmi Ariffin, yang “usikan” yang membunuh Kim di klia2 pada 13 Februari lalu diselia 4 orang lain.
“Ini menunjukkan persamaan dari segi niat antara wanita itu dan 4 orang individu itu,” katanya.
Menurutnya, Jong Nam berkelakuan normal sebelum disembur dengan agen saraf VX oleh 2 wanita itu.
Kenyataan pembukaan itu tidak menyebut identiti dan warganegara 4 individu itu.
Selepas disembur, Kim ke kaunter perkhidmatan pelanggan di klia2 untuk membuat aduan, sebelum dibawa ke klinik berhampiran, seterusnya meninggal dunia dalam perjalanan ke hospital.
Iskandar berkata pendakwa akan membuktikan tuduhan ke atas Siti dan Doan menjangkaui keraguan yang munasabah.
“Kami akan bawakan bukti langsung dari pakar untuk membuktikan kes ini.
“Pakar kami akan memberitahu mahkamah yang kemungkinan Kim untuk hidup tipis selepas disembur oleh agen saraf VX,” katanya.
Terdahulu kedua-dua suspek tiba di mahkamah kira-kira jam 8.00 pagi sambil diiringi 5 buah kenderaan polis yang dikawal lengkap bersenjata.
Keadaan sekitar mahkamah dikawal ketat dan hanya beberapa media dibenarkan masuk semasa sesi perbicaraan berlangsung.
Siti Aisyah dan Doan Thi Huong hari ini mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan, memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.
Sebelum ini, mereka dituduh di Mahkamah Majistret Sepang atas pembunuhan Jong Nam, anak sulung kepada mendiang Kim Jong Il. Ia berlaku ketika Jong Nam bersiap sedia menaiki pesawat ke Maca pada 9.00 pagi, 13 Februari.
Semasa di klia2, beliau didekati seorang wanita yang menyemburnya dengan cecair, sementara seorang lagi wanita melekapkan kain pada mukanya.
Kematian Kim disusuli krisis diplomatik antara Malaysia dan Korea Utara, yang menafikan tuduhan pembabitan regim Pyongyang.
Beberapa lelaki Korea Utara yang menemui 2 wanita itu, melarikan diri dari Malaysia pada hari sama Jong Nam dibunuh.