
Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO) menyifatkan iklan produk bernama Slimme White itu “menjelikkan, tidak sihat dan tidak bertanggungjawab”, dan berkata ia memberikan mesej wanita yang mempunyai ciri-ciri fizikal tertentu layak didera suami.
“Iklan seperti ini membenarkan penderaan di rumah.
“Logik yang diketengahkan dalam video ini adalah untuk menjadi cantik dan suami kamu tidak akan memukul kamu. Ini satu penghinaan kepada wanita,” kata WAO dalam satu kenyataan.
Iklan 4 minit itu menunjukkan seorang wanita ditolak keluar dari rumah oleh suaminya yang memberitahu niat menceraikannya walaupun wanita itu banyak kali merayu.
Video itu berselang seli antara imbasan kembali percakapan mereka sebelum berkahwin di mana lelaki itu berjanji mencintai wanita itu sehingga tua dan realiti selepas kahwin di mana wanita itu didera secara fizikal dan lisan.
Selepas ditolak keluar dari rumah, wanita itu tinggal bersama kakaknya yang cuba memujuknya dan mencadangkannya mencuba minuman kecantikan Slimme White.
Sebulan kemudian, wanita itu lebih cerah dan kurus, berjalan melintasi suaminya yang mengejarnya dan meminta maaf sambil memberitahu dia masih mencintakan wanita itu.
Bagaimanapun, wanita itu tidak menerima pujukan lelaki itu sambil mengatakan dia akan mendoakan kebahagiaannya.
WAO berkata iklan itu gagal mengenal pasti penderaan di rumah disebabkan perasaan ingin berkuasa terhadap pasangan.
“Kita tidak perlu membeli produk kecantikan yang menjanjikan kulit cerah dan perut kempis, kerana itu adalah satu standard kecantikan yang seksis.”
“Apa yang kita perlukan adalah perasaan hormat dan kesaksamaan. Lelaki perlu menghormati wanita dan memperakui ianya salah untuk mendera orang lain,” katan WAO.
https://www.facebook.com/KokomOfficial/videos/1879109282105096/