
“Saya dicalonkan DRB-Hicom dan (Zhejiang) Geely Holding untuk memajukan Proton dan saya percaya kereta jenama Malaysia itu akan menjadi jenama nombor satu di negara ini dan antara jenama terkemuka Asean.
“Untuk menjayakan visi ini, Proton kini mempunyai akses kepada sinergi global, kepakaran dan sokongan kewangan yang diperlukan daripada rangkaian Geely. Saya yakin zaman kegemilangan Proton akan kembali,” kata Li yang menggantikan Datuk Ahmad Fuaad Kenali yang kini merupakan ketua pegawai eksekutif Malakoff.
Pengarah Urusan Kumpulan DRB-Hicom, Datuk Seri Syed Faisal Akbar turut mengalu-alukan Li yang mempunyai pengalaman 30 tahun dalam idustri automobil China.
“Kami yakin memilih individu tepat untuk membawa Proton ke arah betul,” katanya pada sidang akhbar bersama Geely hari ini.
Sebelum ini, khabar angin mengatakan bekas naib presiden eksekutif Dongfeng Honda Engine Co itu akan dilantik sebagai CEO Proton selepas menyertai Geely pada 22 Ogos.
Ketika itu, Geely mahupun Proton tidak mengesahkan pelantikan Li.
Pada 8 Ogos lalu, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed dilaporkan berkata, kerajaan tiada kuasa mencampur tangan soal pelantikan warga asing sebagai pengerusi Proton kerana ia terpulang kepada lembaga pengarah syarikat itu.
Geely memiliki 49.9% saham dalam Proton, selepas memeterai perjanjian bernilai RM460.3 juta dengan syarikat induk Proton, DRB-Hicom Bhd, pada Jun lalu.
Di bawah perjanjian itu, Geely akan memberi kepakaran dalam bidang pengeluaran, pembuatan, operasi dan pemasaran kepada Proton.
Bagi Fuaad pula, beliau sebelum ini dilaporkan akan melepaskan jawatan sebagai CEO pada 30 September, selepas 18 bulan menerajui Proton.
Beliau pernah berkhidmat sebagai ketua pegawai operasi dan pengarah kanan kumpulan DRB-Hicom.