
Naib Presiden Amanah Datuk Mujahid Yusof Rawa, satu-satunya ahli Parlimen dalam NUCC, berkata, ianya satu kerugian apabila kerajaan mengenepikan cadangan majlis itu.
Adli Zakuan, pengarah programorganisasi hak asasi manusia Pusat Komunikasi Masyarakat (Pusat Komas), yang bersetuju dengan berkata sudah tiba masa Putrajaya lihat semula cadangan itu. Adli juga berkata ini termasuklah mekanisme yang dicadangkan untuk menangani diskriminasi kaum dan agama.
Dobi yang terletak di Muar itu menarik semula dasar itu atas arahan Sultan Johor tetapi kes itu membangkitkan persoalan tentang garis antara diskriminasi dan hak pemilik perniagaan.
Adli berkata dasar dobi itu tidak sejajar dengan Perlembagaan Persekutuan yang menyeru kesaksamaan bawah undang-undang.
“Bagaimanapun, individu atau perniagaan tidak boleh didakwa hanya kerana perbuatan yang tidak berperlembagaan,” katanya sambil menambah, tiada undang-undang berkaitan perniagaan yang menafikan perkhidmatan kepada pelanggan kerana kaum atau agama.
Ekoran kontroversi itu, DAP menyeru undang-undang “kesaksamaan” atau “anti diskriminasi” diwujudkan bagi menentang ekstremisme agama, diskriminasi jantina dan semua jenis amalan tidak adil.
Tetapi Adli berkata undang-undang seperti itu tidak akan menjadi penyelesaian untuk segalanya, malahan boleh membangkitkan isu yang lebih sukar. Beliau memetik satu contoh, mendakwa undang-undang menentang ekstremisme disalahgunakan.
“Keharmonian dalam negara dan kepaduan sosial bukan sesuatu yang boleh dipaksa dan dilaksanakan melalui undang-undang,” katanya.
“Jadi, kita perlu mencari pendekatan lebih komprehensif dan menyeluruh untuk mempromosikan amalan yang tidak mendiskriminasi.”
Beliau berkata NUCC dahulu kelihatan seperti mengambil langkah sebegitu.
Majlis itu mencadangkan 3 inisiatif untuk menangani diskriminasi iaitu, undang-undang anti diskriminasi, undang-undang harmoni nasional dan suruhanjaya harmoni nasional.
Mujahid beritahu FMT, peruntukan dalam undang-undang anti diskriminasi adalah khusus dan tidak akan bertentangan dengan peruntukan Perlembagaan berkaitan hak istimewa Melayu dan Bumiputera.
Untuk undang-undang harmoni nasional pula, beliau berkata ianya bertujuan menghukum ucapan berbaur kebencian dan perlakuan menentang sesuatu kaum atau agama.
“Ini berbeza daripada Akta Hasutan kerana ia lebih khusus dan beban bukti sangat tinggi.”
Untuk tindakan diambil terhadap mana-mana pihak bawah undang-undang dicadang itu, beliau menambah, perlu ada bukti yang ucapan berbaur kebencian atau perlakuan itu sengaja dilakukan, diulangi dan boleh membawa kepada bahaya fizikal atau kekecohan.
Beliau juga menjelaskan cadangan suruhanjaya harmoni nasional bertujuan mendidik orang awam. Suruhanjaya itu juga akan berperanan sebagai orang tengah dan memberi nasihat kepada pihak berkuasa mengenai isu kaum dan agama kerana perkara ini tidak sentiasa jelas.
“Suruhanjaya itu akan perlu jalankan siasatan dan mencadangkan tindakan,” katanya.
Komunikasi lebih baik
Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) ketepikan keperluan undang-undang anti diskriminasi, mengatakan perniagaan hanya perlu belajar berkomunikasi lebih baik.

“Dalam kes dobi itu, saya percaya pemiliknya hanya ingin memenuhi kehendak pelanggan yang mungkin bimbang bulu anjing ada pada pakaian,” kata aktivis PPIM Datuk Nadzim Johan, kepada FMT.
“Tetapi penjelasannya mungkin terlalu umum dan menampakkan seolah-olah orang bukan Islam tidak suci. Dia patut menjelaskan dengan lebih baik.”
Nadzim berkata langkah pemilik dobi itu mungkin satu keputusan perniagaan.
“Jika ianya satu keputusan perniagaan, maka kita tidak patut lihatnya sesuatu yang negatif. Jika sebuah kedai mngambil pekerja yang pandai berbahasa Cina kerana pelanggan mereka adalah penutur bahasa Cina, saya tidak rasa itu diskriminasi.
“Jika saya mahu upah seorang pemandu, saya mungkin lebih berminat untuk mengupah seorang bukan Islam kerana dia boleh bekerja pada hari raya.”
Nadzim berkata tidak perlu mengasingkan mesin basuh untuk orang Islam dan bukan Islam kerana bukan semua akan kisah berkongsi mesin.
“Akhirnya, ianya pilihan pelanggan. Mereka sentiasa boleh ke dobi lain jika mereka tidak bersetuju dengan dasar sesuatu syarikat.”

Beliau berkata campur tangan hanya perlu ada jika terdapat diskriminai dalam monopoli, kerana jika begitu, pengguna tiada lagi alternatif.
Pakar ekonomi veteran Tan Sri Ramon Navaratnam berkata pihak perlesenan patut memastikan perniagaan tidak mendiskriminasi atas dasar kaum atau agama apabila berkhidmat untuk pelanggan atau mengupah pekerja.
“Kamu boleh kata kamu memerlukan seseorang yang pandai berbahasa Mandarin jika perniagaan kamu berurusan dengan pasaran China, atau pelanggan kamu dari China, tetapi tidak semestinya seorang Cina perlu melakukan kerja itu. Jika ada Melayu atau India boleh berbahasa Mandarin, jadi mereka tidak patut dinafikan peluang memohon kerja.”
Beliau berkata pihak berkuasa berkaitan patut mengarahkan pemilik dobi itu mengabaikan dasar sekatannya sebelum Sultan Johor campur tangan.