Tak perlu mencarut dalam politik, kata Salleh

Tak perlu mencarut dalam politik, kata Salleh

Menteri komunikasi dan multimedia itu berkata pembangkang tidak perlu mencarut, cukuplah sekadar gariskan hala tuju perjuangan parti dan kritik kelemahan kerajaan BN.

salleh-politik

KUALA LUMPUR: Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak membidas segelintir pemimpin pembangkang yang menggunakan bahasa kesat mencaci penyokong Umno dan Barisan Nasional (BN).

Beliau juga mempersoalkan kewajaran tindakan sedemikian hanya kerana perbezaan dan persaingan politik.

“Mat Sabu menghukum agamawan yang bersama Umno dan BN sebagai berfahaman celaka, Mahathir (Tun Dr Mahathir Mohamad) mengeluarkan fatwa berdosa mengundi PAS dan BN, dan Muhyiddin (Tan Sri Muhyiddin Yassin) pula menggelar orang Umno dan BN sebagai kaum jahiliah.”, kata Salleh.

“Sebagai pemimpin parti yang berjuang untuk rakyat, tidak perlulah kita mencarut. Cukuplah sekadar menggariskan hala tuju perjuangan parti dan mengkritik kelemahan kerajaan BN.

“Saya fikir itu lebih beradab daripada menggelar sesama kita dengan bahasa tidak bertamadun,” katanya dalam catatan di laman blognya hari ini.

Bendahari Umno itu berkata tindakan Mat Sabu, Dr Mahathir dan Muhyiddin hanyalah untuk menggembirakan DAP yang dianggap boleh membawa mereka ke Putrajaya.

Bagaimanapun, kata Salleh, andaian itu salah dan strategi politik sedemikian tidak sesuai untuk menawan Putrajaya.

“Rakyat muak dengan politik kebencian sebegini. Yang rakyat dambakan ialah politik matang, politik menggunakan isu dan strategi kempen yang beradab, politik yang menyentuh keperluan rakyat dan perjuangan untuk rakyat,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.