TPM: Niosh sertai pasukan petugas khas keselamatan sekolah

TPM: Niosh sertai pasukan petugas khas keselamatan sekolah

Ahmad Zahid Hamidi berkata, penglibatan Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Kebangsaan (Niosh) amat diperlukan bagi memastikan institusi pendidikan selamat untuk pelajar dan guru.

zahid
PUTRAJAYA: Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hari ini mengumumkan penyertaan Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Kebangsaan (Niosh) dalam pasukan petugas khas bagi memastikan keselamatan sekolah, termasuk maahad tahfiz dan pondok agama.

Timbalan perdana menteri berkata, penglibatan Niosh amat diperlukan bagi memastikan institusi pendidikan selamat untuk pelajar dan tenaga pengajarnya.

“Niosh dijemput menganggotai ‘task force’ berkenaan keselamatan di sekolah kerana kita tidak boleh izinkan Kementerian Pendidikan lihat soal keselamatan sekolah tanpa dibantu kita,” katanya ketika berucap merasmikan Persidangan serta Pameran Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan ke-20, hari ini.

Menteri dalam negeri itu berkata, lawatannya ke Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah yang terbakar minggu lalu mendapati kematian 21 pelajar dan 2 guru itu disebabkan tiada keutamaan dari segi aspek keselamatan bangunan.

“Kita mahu anak-anak kita di sekolah selamat dan berada di tahap kesihatan yang tinggi, jangan luga guru-guru juga sebahagian daripada kita.

“Itulah sebabnya apabila kebakaran di maahad tahfiz berlaku, kerana aspek keselamatan tidak diberi keutamaan,” katanya.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu turut kecewa kerana cadangan hasil siasatan Suruhanjaya Diraja (RCI) ke atas kebakaran Pondok Pak Ya atau Madrasah Taufikiah Khairiah Al-Halimiah yang mengorbankan 27 pelajar pada 22 September 1989, tidak dipatuhi.

“RCI dibuat apabila Pondok Pak Ya di Pendang, Kedah terbakar.

“Tak guna jika syor oleh RCI dilakukan, tapi tak diikuti, akhirnya nyawa melayang.”

Sehubungan itu, beliau berharap penyertaan Niosh dapat memastikan tragedi sama tidak berulang.

“Kita harus ada kepedulian, benar kita mahu pahala dan ganjaran, tetapi kita perlu kerja keras pastikan keselamatan pekerja dan pelajar diambil berat.

“Kita mahu wujudkan task force ini atas keprihatinan kita. Kita tidak mahu ia berlaku lagi. Task force ini akan menyarankan Niosh membantu sekolah-sekolah ini, termasuk maahad tahfiz,” katanya.

 

Jawatankuasa baharu selaras sekolah agama rakyat, pondok

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.