Bekas MB Selangor Muhammad Muhd Taib kembali sertai Umno

Bekas MB Selangor Muhammad Muhd Taib kembali sertai Umno

Muhammad berkata, beliau buat keputusan itu setelah 5 tahun kerana melihat keadaan di sebelah sana dan saya rasa perjuangan saya sia-sia sahaja.

Muhd-Taib
PETALING JAYA: Bekas menteri besar Selangor Tan Sri Muhammad Muhd Taib kembali menyertai Umno setelah 5 tahun bersama pembangkang, demikian diumumkan Datuk Seri Najib Razak di sini hari ini.

Beliau turut hadir bersama pada sidang media yang diadakan Najib, presiden Umno di ibu pejabat parti itu di Menara Dato Onn.

Najib yang juga pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata, Muhammad sedar perjuangan parti pembangkang khususnya PKR sia-sia dan bertentangan dengan jiwa serta semangat yang ada pada beliau.

“Dan, sebab itulah Allah telah buka hatinya untuk kembali semula menyertai Umno.”

Najib yakin penyertaan semula Muhammad akan mengukuhkan Umno, di mana beliau berikrar untuk berjuang bersama bagi menjamin kejayaan Umno dan BN.

Muhammad berkata, beliau ikhlas kembali ke Umno tanpa meminta sebarang jawatan kerana menyedari parti pembangkang tidak meletakkan perjuangan Melayu sebagai agenda utama mereka.

“Saya buat keputusan ini setelah 5 tahun kerana melihat keadaan di sebelah sana. Saya rasa perjuangan saya sia-sia sahaja.

“Saya lihat dalam meeting parti yang saya hadiri, tidak pernah ada dibincang mengenai agenda Melayu. Ini bermakna hilang perjuangan Melayu, maknanya hilanglah perjuangan agama sendiri.”

Oleh itu, katanya, beliau tiada jalan lain untuk menyelamatkan bangsa Melayu, kecuali berpatah balik kepada Umno dan mendukung perjuangan parti itu.

Beliau berikrar akan berjuang bersama pemimpin parti, terutamanya di Selangor.

“Saya lihat banyak kepentingan orang Melayu diketepikan. Ini sebenarnya banyak merugikan orang Melayu.

“Walaupun nampak macam gah, tapi sebenarnya untuk orang Melayu, banyak ruginya bersama PKR.”

Beliau turut memberi amaran perpecahan kuasa dalam kalangan bangsa Melayu mulai wujud dan akan ada pihak yang mengambil kesempatan daripada keadaan itu.

Muhammad, juga bekas menteri kemajuan luar bandar dan wilayah, menyertai PAS pada 2013 sebelum menganggotai PKR 2 tahun kemudian.

Dalam Umno, beliau pernah menyandang jawatan naib presiden dan ketua penerangan.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.