
Kenyataan bersama PH berkata, semangat persekutuan dalam Perjanjian Malaysia 1963 tidak diiktiraf sepenuhnya sedangkan Perlembagaan Persekutuan memperakui Sabah dan Sarawak ialah wilayah federal yang khas dan merupakan rakan kongsi setara dengan Semenanjung.
“Justeru, Pakatan Harapan percaya Sabah dan Sarawak berhak kepada reformasi struktural dan tata kelola baik yang berpaksikan Perjanjian Malaysia 1963 dan Perlembagaan Persekutuan supaya segala potensi bumi, sumber dan tenaga dapat dijana dan dikembalikan kepada rakyatnya.”
Selain katanya, Sabah dan Sarawak juga berhak kepada semangat federalisme berasaskan perpaduan dalam kepelbagaian, keadilan, ketelusan dan pertanggungjawaban.
“Konsep Federalisme berasaskan Perkara-perkara 73 hingga 95E Perlembagaan Persekutuan wajib difahami, dihayati dan dihormati,” kata kenyataan itu lagi.
Kenyataan bertemakan “Sehati Sejiwa Untuk Malaysia” itu dikeluarkan oleh Presiden PH, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan 3 timbalannya iaitu Tan Sri Muhyiddin Yassin, Lim Guan Eng dan Mohamad Sabu.
Malah kenyataan itu menambah, PH beriltizam untuk membangun Bangsa Malaysia yang beridentiti nasional, berpaksi kepada nilai-nilai dikongsi bersama, bersatu padu, kreatif dan inovatif dan berdaya saing untuk berjuang demi negara buat menikmati Malaysia yang lebih baik untuk seluruh rakyatnya.
Kata kenyataan itu, PH meraikan bersama seluruh rakyat Malaysia, penyatuan persekutuan yang merdeka lagi berdaulat serta berpaksikan prinsip kebebasan dan keadilan, bagi menjamin kedamaian dan keharmonian, sejajar dengan Pemasyhuran Malaysia pada 16 September 1963 Tunku Abdul Rahman.
Namun katanya, setelah 54 tahun Malaysia dibentuk, soal besar yang menghantui sebahagian rakyat adalah “apakah cita-cita penyatuan dan perkongsian ini termasuk faedah dan pembangunan ekonomi yang adil di antara Semenanjung, Sabah dan Sarawak, benar-benar wujud dan dikecapi bersama?”
“Ataukah Sabah dan Sarawak terus-terusan tercicir dari arus pembangunan, sebaliknya dipermainkan kerajaan Barisan Nasional (BN) dengan janji serta slogan molok, namun masih jauh dari disempurnakan?
“Bahkan perbezaan pembangunan wilayah juga ketara di Semenanjung sendiri, di segi kesenjangan antara negeri-negeri pantai timur dan utara berbanding negeri pantai barat,” kata kenyataan itu lagi.
Hakikatnya menurut kenyataan itu, pembangunan infrastruktur, jaringan jalan raya, elektrik dan kemudahan awam lain seperti pendidikan dan kesihatan khasnya di Sabah dan Sarawak, masih jauh ketinggalan khususnya bagi kawasan-kawasan luar bandar dan pedalaman berbanding negeri-negeri di Semenanjung.
“Ini berlaku akibat perlaksanaan polisi yang tidak menjamin keadilan pengagihan hasil kekayaan dan sumber negara, ditambah dengan pemusatan kuasa serta kepincangan tadbir-urus belanjawan pembangunan kerajaan persekutuan,” kata kenytaan itu sambil menambah, “ini ditambah buruk lagi dengan pentadbiran yang sarat rasuah dan salah guna kuasa.”