Anak saya terjun dari tingkat 3, kata bapa pelajar tahfiz

Anak saya terjun dari tingkat 3, kata bapa pelajar tahfiz

Sharifuddin Musa, ahli Jawatankuasa Surau Ittifaqah, surau berdekatan pusat tahfiz itu berkata, sekolah terbabit baru setahun didiami dan dibina atas sumbangan surau.

kebakaran-tahfiz-keramat-malaysia-kl
KUALA LUMPUR: Beberapa pelajar menyelamat diri dengan melompat dari tingkat 3 Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah yang terbakar di Jalan Keramat Ujung, ibu negara.

“Anak saya terpaksa memecahkan cermin, melompat keluar dari tingkat 3 dan terus ke awning di tingkat 1 untuk menyelamatkan diri.”

Datuk Dr Sharifuddin Musa.
Datuk Dr Sharifuddin Musa.

Demikian menurut Datuk Dr Sharifuddin Musa, 45, bapa kepada Mohd Shahir, 11, ketika menceritakan detik anaknya terselamat dalam kebakaran awal pagi tadi.

Katanya, beliau dimaklumkan mengenai kejadian itu semasa membuat persiapan untuk solat subuh sebelum bergegas ke tempat kejadian dan mendapati kebakaran itu merebak di tingkat 3.

“Anak saya menyelamatkan diri bersama rakannya dengan memecahkan cermin, melompat dan memecahkan awning dibantu orang ramai yang berada di bawah,” katanya ketika ditemui pemberita di Wad Kecemasan Hospital Kuala Lumpur hari ini.

Sharifuddin yang juga ahli Jawatankuasa Surau Ittifaqah, surau berdekatan pusat tahfiz itu berkata, Shahir yang merupakan anak ke-3 daripada 4 beradik, kini menerima rawatan di HKL selepas melecur di belakang badan.

Menurutnya, bangunan pusat tahfiz itu baru setahun didiami dan dibina atas sumbangan surau.

Sementara itu, seorang ibu yang hanya mahu dikenali sebagai Maryani, 38, berkata anaknya, Indera Kurniawan turut terselamat dalam kejadian itu.

Beliau yang ditemui di perkarangan HKL meminta orang ramai berdoa agar anaknya tidak cedera parah.

“Anak saya ditemui dalam keadaan muka hitam dan tidak sedarkan diri. Harap semuanya selamat,” kata pekerja pembersihan itu dengan ringkas.

Polis memaklumkan kejadian itu meragut nyawa 22 pelajar dan 2 guru pusat tahfiz itu.

Lebih 20 pelajar maut dalam kebakaran sekolah tahfiz di Keramat

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.