PM Singapura yakin dengan Halimah Yacob sebagai presiden

PM Singapura yakin dengan Halimah Yacob sebagai presiden

PM Singapura Lee Hsien Loong ingin bekerja dengan Halimah untuk berkhidmat kepada rakyat Singapura dan negara.

Lee-Hsien-Loong-Halimah-Yacob-pm-singapura
SINGAPURA: Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong yakin Halimah Yacob akan menjalankan tanggungjawabnya sebagai presiden ke-8 republik itu dengan cemerlang.

“Presiden adalah mercu sistem politik dan lambang negara kita yang berbilang kaum dan agama,” katanya dalam catatan terbaru di Facebook.

Halimah dijadual mengangkat sumpah esok di Istana iaitu kediaman dan pejabat rasmi Presiden Singapura.

“Halimah pernah berkhidmat sebagai anggota kesatuan, pemimpin masyarakat, ahli parlimen, menteri negara dan speaker.

“Pengalaman luas semasa bekerja dengan rakyat Singapura daripada semua lapisan masyarakat, memperjuangkan nasib pekerja dan kumpulan kurang bernasib baik, akan dimanfaatkan semasa memegang jawatan presiden,” kata Lee.

Lee berkata beliau sudah menghubungi Halimah untuk mengucapkan tahniah kepadanya menjadi presiden ke-8 Singapura.

Perdana menteri itu turut berterima kasih kepada Mohamed Salleh Marican dan Farid Khan Kaim Khan kerana menawarkan diri sebagai calon.

“Keputusan dibuat bukan mudah bagi mereka dan keluarga memandangkan mereka akan menjadi perhatian media dan orang ramai. Mereka menghormati perlembagaan, menjaga tatasusila dan kesopanan.

“Mereka tidak mengelirukan rakyat dengan janji melangkaui bidang kuasa seorang presiden, yang mana pernah berlaku sebelum ini. Saya juga berterima kasih kepada mereka kerana menerima keputusan Jawatankuasa Pilihan Raya Presiden. Inilah cara menjadikan proses demokratik berjalan lancar demi kepentingan rakyat Singapura,” katanya.

Mohamed Salleh dan Farid Khan, kedua-duanya ahli perniagaan, tidak layak menjadi calon presiden apabila gagal memenuhi beberapa kriteria ditetapkan untuk sektor swasta.

“Halimah akan mengangkat sumpah esok. Saya berharap kita semua akan menyokong beliau sebagai presiden kita seterusnya.

“Saya ingin bekerja dengan beliau untuk berkhidmat kepada rakyat Singapura dan negara,” kata Lee.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.