Pemilik Berkeley’s Corner cabar exco Selangor buktikan dakwaan

Pemilik Berkeley’s Corner cabar exco Selangor buktikan dakwaan

Exco Selangor, Teng Chang Khim diberi 72 jam untuk menunjukkan pelan asal bagi menyokong dakwaan tanah restoran itu terletak di zon penampan lebuh raya.

berkeley
KLANG: Pemilik sebuah restoran yang berdepan pengusiran daripada tanah didudukinya hari ini mencabar seorang exco Selangor membuktikan dakwaan tanah itu perlu diambil alih pihak berkuasa bagi pembinaan sebuah kolam takungan untuk menyelesaikan masalah banjir di kawasan sekitarnya.
Muthusamy Thirumeni, pemilik restoran Berkeley’s Corner juga mahu exco Selangor, Datuk Teng Chang Khim membuktikan dakwaan pelan asal tanah yang diduduki restoran itu terletak dalam zon penampan lebuh raya.
“Kami juga mahu Teng menunjukkan kawasan sebenar dan berapa luas zon penampan itu,” katanya pada sidang akhbar yang diadakan di restorannya di Persiaran Rajawali, Taman Berkeley, hari ini.

Mengenai dakwaan kerajaan negeri perlu membina kolam takungan ke-2 di kawasan itu, Muthusamy mendakwa kolam takungan sedia ada cukup menyelesaikan masalah banjir.

“Jika banjir berlaku, ia disebabkan masalah yang timbul dengan kolam takungan sedia ada.

“Jadi, kami mahu Teng menjelaskan rasional membina kolam takungan ke-2, sedangkan cara terbaik menyelesaikan masalah ini ialah memastikan kolam takungan pertama sentiasa beroperasi dengan baik,” katanya.

Teng yang juga adun Sungai Pinang baru-baru ini menafikan terlibat secara langsung dalam keputusan merobohkan restoran popular itu kerana ia bukan terletak dalam kawasannya.

Beliau bagaimanapun mengakui, sebagai exco negeri, beliau mungkin terlibat secara tidak langsung tetapi tidak adil menyalahkannya sahaja kerana itu keputusan kerajaan negeri.

Bagaimanapun, Muthusamy berkata, sebagai exco yang bertanggungjawab terhadap pihak berkuasa tempatan, Teng bertanggungjawab sepenuhnya ke atas keputusan itu.

Katanya, beliau mendapat maklumat dalaman pada Oktober 2011, satu mesyuarat exco dengan Majlis Perbandaran Klang meluluskan pajakan tanah selama 3 tahun kepada Berkeley’s Corner pada harga RM10,000 sebulan.

“Kami tidak pernah menerima tawaran ini. Malah pada 2014, pihak berkuasa datang merobohkan premis kami, tetapi dihalang Ahli Parlimen Kapar, G Manivannan.

“Ekoran ini, pejabat tanah menawarkan sebidang tanah di Batu 12 Kapar dan walaupun tidak sesuai, kami terima.

“Tetapi, kami terkejut apabila pihak berkuasa datang lagi untuk merobohkan premis kami pada 3 pagi dan sekali lagi dihalang Manivannan.”

Wisma 99 Speedmart dibina atas tanah persendirian

Muthusamy turut mendakwa Teng gagal memaklumkan tawaran pajakan tanah selama 3 tahun pada 2011 kerana beliau ialah exco bertanggungjawab untuknya.

“Jika Teng kata beliau tidak terlibat secara langsung dalam keputusan ini, siapa lagi?”

Ditanya kenapa Wisma 99 Speedmart dibenarkan dibina bersebelahan restoran yang mahu dirobohkan kerajaan negeri, Teng berkata, status 2 tanah itu berbeza.

“Wisma 99 Speedmart dibina atas tanah yang sudah lama dizonkan sebagai tanah persendirian untuk tujuan komersial.

“Tanah diduduki Berkeley’s Corner pula ialah tanah kerajaan dan terletak di zon penampan antara Lebuhraya Persekutuan dan kawasan kediaman Taman Berkeley.”

Bagaimanapun, Muthusamy berkata, ianya menjadi sesak sejak Wisma 99 Speedmart dibina.

Sehubungan itu, beliau memberi 72 jam kepada Teng untuk menjawab soalan itu.

Sebelum ini, Muthusamy berkata, lesen pendudukan sementara (TOL) restoran itu sudah diproses untuk pembaharuan pada 2007.

“Tetapi, pada 2014, pejabat tanah tiba-tiba memutuskan tidak meneruskan pembaharuannya, sejurus selepas Wisma 99 Speedmart setinggi 12 tingkat siap dibina beberapa meter di depan restoran itu.”

Menurutnya, permohonan memperbaharui TOL tidak disambung pada 2014, sejurus selepas Wisma 99 Speedmart 12-tingkat siap dibina beberapa meter berhadapan restoran itu.

Muthusamy yang juga presiden Persatuan Pengusaha Restoran Malaysia (Primas) berkata, beliau sudah meminta penjelasan pejabat tanah mengapa TOL restoran itu tidak diperbaharui, tetapi tiada respons diberikan.

Teng berkata, tanah itu milik kerajaan dan kerajaan negeri berhak mengusir sesiapa yang mendudukinya.

Muthusamy mengakui tanah itu bukan milik restoran terbabit, tetapi satu-satunya perkara diminta beliau ialah memulakan rundingan.

“Jika seseorang menyewa rumah anda dan enggan keluar, anda tidak akan merobohkan rumah itu.

“Kami hanya mahu berunding untuk mencapai penyelesaian bersama. Mengapa susah sangat?”

Pada 28 Ogos lalu, pihak berkuasa ke Berkeley’s Corner bagi tujuan merobohkan bangunan yang menempatkan restoran itu, tetapi orang ramai membanjiri kawasan itu untuk memprotes.

Muthusamy mempersoal mengapa pihak berkuasa hendak merobohkan restoran itu sehari sebelum perbicaraan mahkamah berhubung perkara berkenaan dan siapa yang memberikan arahan perobohan terbabit.

Selepas berunding dengan Manivannan, 2 peguam mewakili restoran itu, pihak berkuasa dan pejabat tanah, bersetuju memberi penangguhan selama 2 minggu untuk sebarang tindakan merobohkan bangunan itu sementara menunggu keputusan mahkamah.

Turut hadir adalah Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago dan Adun Sri Andalas, Xavier Jayakumar.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Azmin Ali turut menghantar mesej teks kepada Santiago untuk menemui pemilik restoran bagi membincangkan nasib Berkeley’s Corner.

Sehingga kini, pemilik restoran belum menemui Azmin.

“Kami cuba menetapkan tarikh pertemuan. MB seorang yang sangat sibuk,” kata Muthusamy.

FMT cuba menghubungi Teng dan masih menunggu responsnya.

Kecoh di Klang selepas orang ramai halang roboh restoran

Notis usir: Azmin setuju jumpa pemilik restoran di Klang

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.