
Menurut The Straits Times, Speaker Parlimen, Halimah Yacob hampir pasti merupakan satu-satunya calon yang diberikan Sijil Kelayakan oleh PEC, yang bermakna pilihan raya presiden tidak perlu diadakan pada 23 September ini.
Halimah pada Ogos 7 mengesahkan hasratnya memegang jawatan presiden itu selepas 2 pencalonan lain melibatkan tokoh perniagaan.
Dua calon lain ialah Ketua Pegawai Eksekutif Second Chance Properties Mohamed Salleh Marican, dan pengerusi Bourbon Offshore Asia Farid Khan Kaim Khan.
Bagaimanapun, Halimah merupakan calon yang dikatakan paling layak susulan pengalaman luasnya sebagai Speaker dan ahli Parlimen.
Pilihan raya presiden Singapura September ini adalah sesuatu yang unik memandangkan ia diperuntukkan kepada calon dari kalangan orang Melayu, selepas Yusof Ishak menjadi presiden pertama hampir 50 tahun lalu.
Perdana Menteri Lee Hsien Loong mencadangkan idea itu tahun lalu, yang disusuli dengan pindaan perlembagaan pada November lalu, bagi memastikan perwakilan bersifat pelbagai kaum dalam pejabat presiden.
Jawatan presiden sekadar simbolik dan tidak mempunyai kuasa politik seperti perdana menteri, dan mula dipertandingkan sejak 1993.
Bagaimanapun, calon perlu memenuhi beberapa syarat ketat termasuk pernah memimpin sebuah organisasi besar.