
Pada masa sama, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Azmin Ali berkata, projek pembinaan pusat konvensyen itu tidak akan dijalankan secara tergesa-gesa.
Katanya, beliau sudah memaklumkan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) berhubung pertemuan dengan penduduk setempat mengenai isu itu.
“Saya berjanji tidak akan membatalkan pembinaan taman rekreasi yang dicadangkan itu,” kata adun Bukit Antarabangsa di mana pusat khidmat masyarakatnya juga terpaksa dipindahkan dari kawasan terbabit.
“Malah, saya mengorbankan pusat khidmat saya untuk dirobohkan bagi membangunkan taman itu. Jadi, mereka dalam proses menyediakan semua dokumen,” katanya di luar sebuah persidangan perniagaan hari ini.
Sekumpulan penduduk mendakwa MPAJ mengubah rancangan pembinaan sebuah taman rekreasi kepada pusat konvensyen di tanah seluas 1.36 hektar, bersebelahan pusat beli-belah Melawati Mall.
Malay Mail Online sebelum ini melaporkan pusat beli-belah itu “sunyi” dengan kurang 10 premis beroperasi di bangunan 6 tingkat itu.
Susulan bantahan itu, Azmin berkata, beliau segera menghubungi Presiden MPAJ, Abdul Hamid Hussain untuk menemui penduduk “supaya mereka mendapat fakta sebenar kerana kami mahu taman itu dibangunkan di kawasan berkenaan”.