
Sepanjang tempoh itu, ibu kepada 3 anak yang lebih mesra dengan panggilan “mama” di kalangan penghuni pusat rawatan ketagihan dadah itu menyediakan 6 menu hidangan setiap hari.
Misah sebelum ini menetap di London selama 20 tahun dan merupakan pemilik Satay House, sebuah restoran yang menjual makanan tradisi Melayu di negara eropah itu.
Selepas 15 tahun menguruskan restoran tersebut sejak 1991, beliau memutuskan untuk menjualnya dan kembali ke Malaysia pada 2007.
“Tiada beza memasak untuk restoran dan Rumah Pengasih, semuanya dibuat sepenuh hati dengan kasih sayang,” katanya dalam wawancara dengan FMT baru-baru ini.
Masakannya yang dikatakan mempunyai ciri-ciri masakan seorang ibu membuatkan Misah pernah diberikan tanggungjawab menguruskan Malaysia Hall di London selama 3 tahun selepas diberikan tender oleh pihak kedutaan Malaysia di sana.
Selain menyediakan makanan untuk penghuni Rumah Pengasih, Kasih Kitchen yang baru ditubuhkan sebulan lalu juga dikenali badan-badan kebajikan kerana turut menyediakan makanan untuk golongan gelandangan di ibu negara.
“Mama juga menerima tempahan katering luar, jadi Kasih Kitchen mengambil 4 bekas penghuni Rumah Pengasih sebagai kakitangan dengan dibantu penghuni yang masih menjalani rawatan pemulihan.
“Pelanggan kami rata-ratanya berpuas hati dengan tugas yang kami jalankan, mereka juga memberikan sokongan penuh kepada penghuni Rumah Pengasih untuk meneruskan usaha ini kerana dapat mendedahkan mereka dalam bidang pemakanan,” katanya.
Bayaran daripada aktiviti katering itu katanya akan diserahkan kepada Rumah Pengasih sebagai sumbangan mereka.
Antara pelanggan yang pernah mendapatkan khidmat Kasih Kitchen adalah individu ternama dan kenalan Misah, termasuk gereja St Andrews di Jalan Raja Chulan.
“Kita tidak peroleh pendapatan yang banyak dari katering, tapi sedikit sebanyak kami dapat menyumbangkan dana untuk Rumah Pengasih,” katanya.
Rumah Pengasih, menurutnya memerlukan kira-kira RM130,000 sebulan bagi menampung kos operasi dan keperluannya.
Bagi Misah, tanggungjawabnya di Rumah Pengasih bukanlah sebagai seorang tukang masak semata-mata tetapi juga menjadi “model ibu” kepada penghuninya.
“Mereka rindukan ibu masing-masing, sebab itu mama berada di sini, mama membebel pada mereka, beri nasihat dan galakan kepada mereka.
“Mereka bukan binatang, mereka adalah manusia biasa yang pernah tersilap langkah, kita harus beri mereka peluang untuk berubah,” katanya lagi.
Enggan tinggalkan Rumah Pengasih
Bagi tukang masak Kasih Kitchen, Nazaruddin Ismail, 33, yang menghuni Rumah Pengasih sejak 7 tahun lalu atas masalah dadah kini turut menyumbang baktinya.
Terlibat dengan gejala dadah ketika berusia 13 tahun, Nazaruddin berkata, dia enggan meninggalkan Rumah Pengasih kerana ingin membantu mereka yang tersilap langkah dalam penggunaan dadah.
“Susah nak cari tempat seperti Rumah Pengasih, bekas penagih bantu penagih, sebab itu saya putuskan untuk tinggal dan menyumbang bakti di sini,” katanya.
Sepanjang bertugas membantu Kasih Kitchen, Nazaruddin berkata, pelanggan mereka mengetahui petugasnya adalah bekas penagih dadah yang ingin berubah dan mereka memberikan sokongan yang kuat.
“Stigma masyarakat terhadap penagih dadah tidak akan berubah, kita yang perlu ubah diri kita sendiri,” katanya.
Rumah Pengasih kini berhadapan ancaman pindah selepas tanah seluas 3.5 ekar daripada 8 ekar yang diduduki mereka sekarang ini akan diambil semula oleh pemilik tanah.
Pemilik tanah bagaimanapun menyediakan 14 ekar tanah dan kemudahan sama di Kampung Cinta Manis, Bentong, sebagai ganti namun pihak pengurusan Rumah Pengasih masih memerlukan kira-kira RM14 juta untuk melengkapkan fasilitinya.
“Selepas berpindah nanti mungkin mama akan turut serta berpindah, akan ada satu kabin untuk mama di sana,” katanya.
Selain 100 penghuni, Rumah Pengasih turut menempatkan 15 kakitangan yang juga bekas penagih dadah.