MB Johor bidas pembangkang dakwa rizab Melayu untungkan elit

MB Johor bidas pembangkang dakwa rizab Melayu untungkan elit

Khaled Nordin berkata pengenalan dasar tersebut disebabkan permohonan orang Melayu sendiri.

Mohamed-Khaled-Nordin
ISKANDAR PUTERI: Kerajaan negeri hari ini menyelar tindakan pembangkang yang sewenang-wenangnya mendakwa pengenalan dasar merizabkan tanah Melayu di negeri itu hanya menguntungkan sesetengah golongan elit.

Sebaliknya, Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata pengenalan dasar tersebut adalah disebabkan permohonan orang Melayu sendiri.

Beliau turut berkata dakwaan pembangkang itu hanya sekadar tuduhan tanpa didukung mana-mana fakta.

“Permohonan untuk merizabkan tanah Melayu adalah atas permohonan orang Melayu sendiri dan apabila kerajaan meluluskan tanah mereka itu, maka dengan sendirinya atau secara automatiknya ia dimestikan sebagai tanah rizab Melayu.

“Jadi, di manakah kebenaran tuduhan mengatakan tanah rizab Melayu ini menguntungkan golongan elit?,” soalnya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Tan Hong Pin (DAP-Mengkibol) yang kononnya dasar itu menguntungkan golongan elit politik pada sesi soal jawab Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor yang ke-13 di Kota Iskandar hari ini.

Mohamed Khaled berkata jika dibanding rizab tanah Melayu Johor dengan 2 negeri diperintah pembangkang iaitu Selangor dan Pulau Pinang, Johor berada di kedudukan baik kerana mencatat kadar tanah rizab Melayu sebanyak 29.4% berbanding 20.2% diperoleh Selangor dan 0 bagi Pulau Pinang.

Sementara itu, menjawab soalan tambahan daripada Ayub Jamil (BN-Rengit), Mohamed Khaled berkata konsep tanah rizab Melayu seharusnya dilihat daripada pelbagai aspek termasuk membawa maksud mewakili kepentingan dan benteng strategik orang Melayu dalam bandar.

“Ingin saya tegaskan soal tanah rizab Melayu ini, ia bukan sahaja mengenai status dan pemilikan tanah ataupun nilai dan harganya ataupun satu tanah yang tidak kompetitif seperti dihujahkan pembangkang.

“Kedudukan, taraf dan status tanah rizab Melayu jauh lebih besar dan penting daripada itu. Ia adalah identiti dan maruah orang Melayu yang mewakili kepentingan dan benteng strategik orang Melayu.

“Atas sebab itu, kami mahu mengubah mentaliti kebanyakan masyarakat bahawa sesuatu bidang tanah itu menjadi kurang nilai dan tidak mempunyai kelebihan atau ciri komersial yg baik jika ia berstatus rizab Melayu,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.