
Permintaan itu dibuat oleh Yangon semasa lawatan Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera Myanmar Jen Min Aung Hlaing ke Bangkok untuk mesyuarat Jawatankuasa peringkat Tinggi (HLC) antara kedua-dua angkatan tentera minggu lepas.
“Bengali, berikutan lawatan pemerintah tertinggi Myanmar Jen Min Aung Hlaing ke sini (minggu lepas), mereka meminta kami memanggil (merujuk) komuniti (Rohingya) sebagai Bengali,” kata beliau ketika ditanya mengenai keputusan Thailand berhubung permintaan Myanmar.
Ketika ditanya sama ada kerajaan Myanmar memberitahu sebab permintaan itu, Prawit yang juga Menteri Pertahanan mendakwa beliau tidak tahu dan cuma berkata, “Itu alasan mereka, bagaimana saya tahu.”
Komuniti Rohingya menentang sebarang percubaan terutama daripada kerajaan Yangon untuk memanggil mereka “Bengali”, yang merujuk kumpulan minoriti itu sebagai pendatang dari Bangladesh walaupun kebanyakan daripada mereka tinggal di Myanmar sejak beberapa generasi.
Semasa di Thailand, Aung Hlaing juga bertemu dengan Perdana Menteri Thailand Jen Prayut Chan-o-cha dan memberi taklimat mengenai situasi terkini di negeri Rakhine, menurut media tempatan yang melaporkan mengenai mesyuarat tersebut beberapa hari lalu.
Aung Hlaing melakukan lawatan ke Thailand ketika insiden mengenai keganasan terbaru di negeri Rakhine meningkat dan menurut laporan keganasan itu, menyebabkan pelarian termasuk wanita dan kanak-kanak menyeberangi sempadan dan berlindung di kem pelarian dekat sempadan Myanmar-Bangladesh.
Angkatan tentera mempunyai pengaruh kuat ke atas kerajaan dan dipersalahkan bagi kekejaman ke atas masyarakat Rohingya.
Sementara itu, Prawit berkata beliau yakin pelarian Rohingya tidak akan menyeberangi sempadan Thailand untuk melarikan diri daripada kegenasan terbaru tetapi sebaliknya akan memasuki sempadan Bangladesh.