PM: Tiada kontrak untuk syarikat tak lantik lembaga pengarah wanita

PM: Tiada kontrak untuk syarikat tak lantik lembaga pengarah wanita

Najib Razak memberi masa sehingga tahun depan kepada syarikat senarai awam yang ingkar melantik wanita menganggotai lembaga pengarah mereka.

najib
KUALA LUMPUR:
Perdana menteri memberi amaran tidak akan memberi kontrak kerajaan kepada syarikat senarai awam (PLC) yang tidak melantik wanita menganggotai lembaga pengarah serta akan “memalukan” mereka.

Datuk Seri Najib Razak memberi masa sehingga tahun depan kepada PLC yang ingkar membuat perubahan.

“Ini komitmen dan (saya) percaya peratusan penyertaan wanita sebagai (ahli) lembaga pengarah akan meningkat.

“Saya telah memberi amaran tahun depan kami akan menerbitkan senarai PLC yang tidak mempunyai wanita di dalam lembaga pengarah.

“Kita akan menamakan dan memalukan syarikat ini,” katanya dalam sesi dialog Transformasi Nasional 2050 (TN50) bersama wanita sempena Sambutan Hari Wanita Kebangsaan, hari ini.

Najib berkata, PLC merekodkan 16.8% wanita memegang jawatan pengarah setakat tahun lalu, tetapi ia adalah 13.2% rendah daripada sasaran 30% wanita dalam peringkat pengurusan PLC.

Pada masa sama, beliau bangga dengan kejayaan golongan wanita dalam pelbagai bidang di negara ini, termasuk ekonomi, pendidikan serta kepimpinan yang disifatkannya jauh lebih baik berbanding negara lain.

“Saya sebagai perdana menteri berpuas hati dengan tahap kejayaan wanita yang bertambah baik dalam semua bidang.”

Katanya, kira-kira 700,000 wanita dalam sektor tenaga kerja, memberi impak 0.3% kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Sebanyak 35% wanita terbabit dalam pengurusan tertinggi sektor awam, dengan pendaftaran pelajar wanita di institusi pengajian tinggi awam meningkat kepada 64% pada 2015.

Beliau turut mengingatkan golongan wanita tidak termakan janji pembangkang menghapuskan cukai barangan dan perkhidmatan (GST), kerana tanpa cukai itu, banyak program khusus untuk wanita tidak dapat dilaksanakan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.