
“Saya sudah bersedia (memulakan kehidupan sebagai orang awam). Saya akan mengikuti kelas memasak dengan Institut Bakeri Malaysia (MIB) di Petaling Jaya,” katanya kepada FMT hari ini.
Khalid yang akan meraikan ulang tahun kelahiran ke-60 pada Selasa ini, bagaimanapun tidak menyatakan secara terperinci bila dan kursus apakah yang akan beliau ambil.
MIB menawarkan kursus bakeri sepenuh masa dan jangka pendek, selain menawarkan program untuk sektor korporat.
Pada 1976, Khalid memulakan kerjayanya dengan pasukan polis ketika berusia 19 tahun dan pernah menyandang pelbagai jawatan sebelum dilantik sebagai ketua polis Negeri Sembilan pada 2005.
Selepas itu, beliau dilantik sebagai timbalan pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, sebelum menjadi ketua polis Selangor pada Jun 2007.
Beliau kemudiannya mengetuai Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman pada 2010, sebelum dinaikkan pangkat sebagai timbalan ketua polis negara pada 2011, menggantikan Tan Sri Husin Ismail yang bersara wajib.
Pada 17 Mei 2013, anak jati Seremban itu diberikan tanggungjawab untuk menerajui pasukan polis negara menggantikan Tan Sri Ismail Omar yang tamat tempoh pelantikan secara kontrak.