Sarawak akan bincang agihan cukai pelancongan dengan PM

Sarawak akan bincang agihan cukai pelancongan dengan PM

Menteri Sarawak, Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, kutipan cukai pelancongan akan dilakukan Kementerian Kewangan di bawah Najib.

Karim-Rahman-sarawak
PETALING JAYA: Kerajaan Sarawak bercadang mengadakan perbincangan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berhubung perkongsian negeri itu dalam hasil kutipan cukai pelancongan.

Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, Najib ialah menteri kewangan dan kutipan cukai itu akan dilakukan Kementerian Kewangan.

“Kadangkala lebih baik bincang perkara seperti itu secara tertutup (dengan Najib) dan mengelakkan isu lain seperti negeri lain tidak mendapat jumlah sama,” katanya dipetik The Malaysian Reserve.

Pada 11 Ogos lalu, Sarawak menuntut negeri itu mendapat pembahagian adil daripada cukai pelancongan, iaitu tidak kurang 30% daripada jumlah dikutip.

Karim dilaporkan berkata, 10% yang diumumkan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Nazri Aziz “tidak adil”.

“Kami mahu hasil yang lebih besar diberi balik kepada Sarawak, kami mahu sekurang-kurangnya 30% atau lebih daripada jumlah keseluruhan yang dikutip,” katanya pada bulan lalu.

Karim dipetik The Malaysian Reserve berkata, Nazri tidak patut mengulas isu itu kerana Kementerian Kewangan yang akan mengutip cukai itu.

Beliau turut meminta pelaksanaan cukai pelancongan ditangguhkan untuk Sarawak sehingga 1 April tahun depan kerana banyak hotel dan ejen pelancongan tempatan sudah mendapat tempahan serta bayaran untuk pakej ditawarkan mereka sehingga awal 2018.

Cukai pelancongan itu dikuatkuasakan mulai hari ini.

Penduduk tetap dan rakyat Malaysia dikecualikan daripada cukai itu, manakala pelancong asing yang tinggal di semua jenis premis penginapan akan dikenakan caj RM10 bagi setiap bilik 1 malam.

Cukai itu tidak akan dilaksanakan ke atas inap desa dan premis yang mempunyai kurang 4 bilik.

Kerajaan menjangkakan kutipan cukai pelancongan kira-kira RM210 juta setiap tahun.

Cukai pelancongan: Sarawak tuntut minimum 30%

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.