
Datuk Thanabalan Nadarajah, atau lebih dikenali sebagai N. Thanabalan, terkenal sekitar 1960-an dan paling dikenali apabila menjaringkan 4 gol ketika mewakili Selangor melawan Pulau Pinang pada perlawanan akhir Piala Malaysia 1968.
Ketika itu, Selangor berjaya menewaskan Pulau Pinang dengan jaringan 8-1, rekod yang masih belum dapat diatasi selepas 49 tahun.
Hari ini, Thanabalan, 74, teruja dengan perlawanan akhir Sukan SEA antara Malaysia dan Thailand yang menampilkan Thanabalan yang berusia 22 tahun.
Thanabalan berharap pemuda itu dapat menjaringkan gol kemenangan Malaysia sekaligus dapat menewaskan Thailand malam ini.
“Saya amat yakin Malaysia mampu menewaskan Thailand dengan jaringan 2-0. Saya juga harap N. Thanabalan akan menjaringkan gol malam ini.”
Menurutnya, skuad Malaysia bawah-22 lebih kuat berbanding Thailand kerana dianggotai bakat yang lebih hebat daripada pasukan jiran.
“Selain Thanabalan, pemain tengah kita lagi kuat daripada Thailand iaitu Matthew Davies dan Muhd Nor Azam Abdul Azih ,” katanya ditemui di rumahnya di sini.

Malaysia melayakkan diri untuk ke perlawanan akhir hari ini melalui gol sensasi pada minit akhir yang ditanduk masuk oleh Thanabalan menerusi sepakan penjuru Nor Azam pada minit ke-87.
Thanabalan, lagenda bola sepak generasi dulu, melihat ada persamaan dengan Thanabalan masa ini, terutamanya ketika berada dalam kotak penalti.
“Terutama semasa di dalam kotak penalti. Itu mengingatkan saya dengan Thanabalan. Tetapi dia sangat tinggi dan badan sedikit tegap daripada saya,” katanya.

Thanabalan menasihatkan pemain negara itu supaya mengelak diri daripada tabiat buruk seperti merokok, dan daripada terlibat dalam perlawanan yang telah diatur.
“Itu sangat penting, saya sendiri dalam kelab, kalau saya dapat tahu mana-mana pemain saya meragukan, saya akan bercakap dengan mereka.
“Main bola sepak, dapat gaji dan jaga keluarga kamu,” katanya.