
Setiausaha Agung FAM Datuk Hamidim Mohd Amin berkata kejadian itu sebenarnya tanggungjawab Sekretariat Kuala Lumpur 2017 (Masoc) dan Kementerian Belia & Sukan (KBS).
“Saya ingin menjelaskan semua urusan penjualan tiket bagi acara bola sepak dan futsal sepanjang temasya Sukan SEA 2017 termasuk bagi perlawanan akhir bola sepak lelaki malam ini di bawah kelolaan Masoc dan KBS sepenuhnya, bukannya FAM mahupun Football Malaysia LLP,” katanya dalam kenyataan hari ini.
“Saya berasa kesal kerana terdapat segelintir pihak yang tetap mahu menyalahkan FAM,” katanya, dan menambah FAM hanya berperanan dalam urusan berkaitan teknikal perlawanan bagi acara bola sepak dan futsal.
Semalam, media melaporkan lebih 5,000 orang Malaysia yang beratur berjam-jam kecewa apabila tiket perlawanan Malaysia menentang Thailand sudah habis terjual.
Pergelutan tercetus apabila penyokong yang tidak berpuas hati menyerbu pintu gerbang namun berjaya dileraikan Unit Simpanan Persekutuan yang mengawasi keadaan.
Menteri Belia & Sukan Khairy Jamaluddin menjelaskan mengikut rancangan awal tiket dijual secara atas talian sepertimana pada separuh akhir.
“Mengenai isu tiket final bola sepak, kami memang berniat untuk menjual sebahagiannya secara dalam talian. Itu amalan bagi semua sukan sebelum aksi final,” katanya di Twitter.
Bagaimanapun pada malam sebelum tiket mula dijual, Khairy dimaklumkan penyedia gerbang jualan atas talian tidak dapat menjamin proses yang stabil kerana jumlah pengguna yang melampau.
“Mereka bimbang orang membuat transaksi pembayaran dan tidak mendapat tiket kerana jumlah pengguna yang banyak. Mereka tidak dapat menjamin kestabilan sistem,” katanya.
Beliau menambah selepas pertimbangkan maklumat yang diterima, keputusan dibuat untuk hanya menjual tiket di tempat perlawanan sehingga semua habis terjual.
“Saya perlu buat keputusan berdasarkan maklumat yang diberikan kepada saya. Tanpa sistem pembayaran dalam talian yang stabil, keputusan dibuat untuk menjual semua tiket di Stadium Shah Alam.
“Di Stadium Shah Alam kami menjual semua tiket. Sehingga ia terpaksa ditangguhkan apabila penghalang dicerobohi. Kemudian penjualan tiket disambung semula selepas FRU tiba,” kata menteri itu lapor Bernama.