Sikap elitis punca hampir kalah di Pekan, Zam beritahu Najib

Sikap elitis punca hampir kalah di Pekan, Zam beritahu Najib

Zainuddin Maidin berkata tidak adil Najib menyalahkan Dr Mahathir dan insiden mata lebam Anwar Ibrahim.

Zam Najib
PETALING JAYA: Seorang bekas menteri yang pernah tewas kepada pembangkang pada pilihan raya umum (PRU) 2008 mempersoalkan dakwaan Datuk Seri Najib Razak yang insiden “mata lebam” melibatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah faktor beliau hampir tewas di Pekan pada PRU 1999.

Sebaliknya, bekas menteri penerangan Tan Sri Zainuddin Maidin berkata Najib tewas kerana beliau kurang mendekatkan diri dengan penduduk setempat dan mengambil sikap “elitis”.

“Najib mempunyai kawasan paling kecil dan lebih teruk lagi, ia adalah kawasan pilihan raya yang sudah lama dipegangnya,” kata Zainuddin kepada FMT, mengulas kenyataan Najib pada Sabtu yang mendakwa beliau hampir kehilangan kerusi Pekan pada PRU 1999 kerana kecederaan yang dialami Anwar setahun sebelumnya.

Selepas dipecat Tun Dr Mahathir Mohamad dan ditangkap pada September 1998, Anwar hadir di mahkamah dengan kesan mata lebam beberapa hari kemudian.

Beberapa bulan selepas itu, bekas ketua polis negara, Tan Sri Abdul Rahim Noor mengaku menyerang Anwar. Rahim kemudiannya dijatuhi hukuman penjara 2 bulan dan denda RM2,000.

Zainuddin yang mesra dengan panggilan Zam berkata Najib pada satu masa tidak dilihat seorang pemimpin “mesra rakyat” sambil mendakwa bersikap “bangsawan”.

“Beliau berubah selepas hampir kalah,” kata bekas ketua pengarang kumpulan Utusan Melayu itu kepada FMT.

“Tidak adil baginya untuk menyalahkan Dr Mahathir kerana calon Umno lain pada masa itu menang dengan majoriti besar.”

Najib mengekalkan kerusi Pekan pada 1999 dengan majoriti 241 undi.

Zainuddin berkata beliau sendiri tewas di tangan pembangkang pada 2008, selepas dikalahkan di Merbok oleh calon PKR, Datuk Johari Abdul.

“Saya kalah semasa ‘tsunami’ di mana ramai orang mula memberi sokongan kepada pembangkang, namun tidak adil untuk saya menyalahkan Pak Lah,” katanya merujuk bekas perdana menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Semalam, Dr Mahathir menuduh Najib memenangi kerusi Pekan melalui cara yang tidak beretika, termasuk dengan membawa masuk pengundi dari luar kawasan pilihan raya.

“Pekan hanya mempunyai 35,000 pengundi pada masa itu tetapi pada tahun berikutnya, angka ini meningkat dari 35,000 hingga 80,000, dari manakah mereka datang?” soal pengerusi PPBM itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.