‘Pecat ketua Pemuda negeri untuk tambah baik PKR Kelantan’

‘Pecat ketua Pemuda negeri untuk tambah baik PKR Kelantan’

Pengarah pilihan raya PKR Kota Bharu berkata, pemecatan Dr Mohd Hafidz Rizal Amran ialah perkembangan baik untuk menambah baik kepimpinan PKR Kelantan yang memerlukan pasukan lebih berwibawa untuk mengalahkan BN.

Ahmad-Syauqey-Abdul-Ghani
PETALING JAYA: Pengarah pilihan raya PKR Kota Bharu menyambut baik pemecatan Dr Mohd Hafidz Rizal Amran sebagai ketua Pemuda PKR Kelantan dalam usaha memperkemaskan kepimpinan negeri untuk menjatuhkan kerajaan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Ahmad Syauqey Abdul Ghani berkata, pihaknya turut mendesak Pengerusi PKR Kelantan, Ab Aziz Ab Kadir meletak jawatan seperti terkandung dalam memorandum yang dilancarkan minggu lalu dan disokong beliau.

“Itu (pemecatan Dr Hafidz Rizal) merupakan perkembangan baik dalam usaha penambahbaikan kepada kepimpinan PKR Kelantan kerana kita memerlukan pasukan lebih berwibawa untuk mengalahkan BN dan mendokong perpaduan Pakatan Harapan (PH) Kelantan.

“(Kita juga mendesak pengerusi PKR Kelantan ditukarkan) sebagaimana dokongan yang diterima sebahagian akar umbi, ketua cabang dan Majlis Pimpinan negeri.

“Malah, kami percaya kepimpinan baharu lebih dinamik, agresif akan dibentuk untuk memimpin PKR Kelantan dan memorandum supaya pengerusi PKR Kelantan melepaskan jawatan akan dikembang dan disebar luaskan untuk mendapat sokongan akar umbi,” katanya kepada FMT mengulas kemelut terbaru melanda PKR negeri itu, susulan pemecatan Dr Hafidz Rizal.

Minggu lalu, AJK PKR Kelantan melancarkan 1 memorandum menggesa Dr Hafidz Rizal dan Ab Aziz melepaskan jawatannya.

Mengulas lanjut, Syauqey mendakwa antara punca Dr Hafidz Rizal dipecat ialah beliau terlalu mesra dengan PAS.

“Saya percaya Dr Hafidz gagal mendapat kepercayaan ketua Pemuda peringkat cabang-cabang dan saya percaya ketua-ketua cabang mahu melihat ketuanya mendokong PH dan tidak makan dedak kerajaan PAS Kelantan.

“Saya ucap tahniah atas pelantikan Mohd Khairul Amin Abdul Rahman sebagai ketua Pemuda PKR negeri baharu. Kita berharap beliau akan membawa PKR ke arah lebih kuat dan memperkukuhkan PH Kelantan dan tingkatkan kepercayaan sesama parti dalam PH dan menolak dedak daripada kerajaan PAS.”

Ketua Pemuda PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad bagaimanapun menafikan Dr Hafidz Rizal dipecat kerana kecenderungan beliau bekerjasama dengan PAS dan membantah keputusan PKR Pusat mengarahkan ahli PKR negeri melepaskan jawatan dalam kerajaan Kelantan.

Sebaliknya, beliau dilaporkan berkata, Dr Hafidz Rizal dipecat atas permintaan akar umbi selepas perbincangan minggu lepas.

 

Ketua Pemuda PKR Kelantan dipecat atas kehendak ahli, kata Nik Nazmi

Pengerusi PKR Kelantan tolak tuduhan mesra PAS

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.