Trump jumpa duta Malaysia, ketua Majlis Keselamatan Negara di White House

Trump jumpa duta Malaysia, ketua Majlis Keselamatan Negara di White House

Ketika mengucapkan terima kasih kepada Malaysia kerana membantu kapal pemusnah AS yang terbabit dalam pelanggaran Isnin lalu, Donald Trump berkata, beliau tidak sabar menemui Najib bulan depan.

trump
PETALING JAYA: Donald Trump menemui Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN), Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin dan Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat (AS), Tan Sri Dr Zulhasnan Rafique di White House, semalam.

Kedutaan AS di Kuala Lumpur dalam satu kenyataan melampirkan sekeping gambar Trump diapit Zulkifeli dan Zulhasnan di Pejabat Oval, White House.

Menurut Kedutaan AS, pertemuan itu diadakan untuk mengucap terima kasih kepada kerajaan Malaysia atas usaha mencari kru sebuah kapal pemusnah AS, USS John S McCain, yang hilang di timur Singapura, awal minggu ini.

Kapal USS John S McCain dilaporkan berlanggar dengan kapal dagang Alnic MC yang didaftarkan di Liberia kira-kira 5.40 pagi Isnin lalu, menyebabkan 5 krunya cedera, manakala 10 lagi hilang selepas terjatuh ke laut.

Pihak berkuasa Singapura serta Malaysia segera melancarkan operasi mencari dan menyelamat.

Dalam pertemuan semalam, presiden AS itu turut memberitahu Zulhasnan dan Zulkifeli yang beliau menantikan pertemuan dengan Datuk Seri Najib Razak di Washington DC, bulan depan.

Kelmarin, White House mengeluarkan kenyataan memaklumkan Najib akan menemui Trump di White House pada 12 September ini.

Akhbar The Wall Street Journal (WSJ) yang pertama kali melaporkan rancangan Najib menemui Trump itu berkata, perdana menteri berhasrat menjalin persahabatan dengan Trump ketika pihak berkuasa AS giat menyiasat dakwaan rasuah melibatkan pentadbiran Malaysia.

Jabatan Kehakiman AS (DoJ) menjalankan siasatan jenayah ke atas 1MDB, dana yang diasaskan Najib yang berdepan siasatan pengubahan wang di sekurang-kurangnya 6 negara, termasuk AS, Switzerland dan Singapura.

DoJ sebelum ini memfailkan saman sivil untuk merampas sejumlah aset bernilai AS$1.7 bilion yang menurutnya dibeli dengan dana diseleweng daripada 1MDB.

Najib bertemu Trump pada September

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.