Warisan gesa SPRM siasat konsesi balak berat sebelah di Sabah

Warisan gesa SPRM siasat konsesi balak berat sebelah di Sabah

Naib Presiden Warisan, Junz Wong berkata, bukti yang diserahkan kepada SPRM menunjukkan Yayasan Sabah memberi konsesi 'pembalakan helikopter' sangat lumayan kepada sebuah syarikat swasta di Sabah.

junz-wong2
PUTRAJAYA: Parti Warisan Sabah (Warisan) menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat dakwaan kerajaan negeri memberi konsesi balak berat sebelah di Rizab Hutan Gunung Rara/Kalabakan.

Naib Presiden Warisan, Junz Wong berkata, bukti yang diserahkan kepada SPRM hari ini menunjukkan Yayasan Sabah memberi konsesi “pembalakan helikopter” yang sangat lumayan kepada sebuah syarikat swasta di negeri berkenaan.

“Saya bangkitkan isu itu di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah pada awal Ogos lalu, tetapi tak dijawab. Timbalan ketua menteri Sabah cabar saya buat laporan polis atau SPRM, jika ada bukti.

“Saya terima nasihat dengan baik, saya buat laporan SPRM,” katanya pada sidang media di ibu pejabat SPRM hari ini.

Wong menuntut kerajaan negeri memberi jawapan berhubung bukti itu dan menggesa SPRM menyiasat Yayasan Sabah jika ia mempunyai kepentingan dalam kontrak berkenaan.

“Konsesi ini adalah untuk kawasan curam dalam konsesi Yayasan Sabah. Mengapakah syarikat yang dikendalikannya diberikan perjanjian yang begitu menguntungkan dengan bayaran RM65 setiap meter padu kayu?”

Beliau mendakwa anggaran bayaran kepada Yayasan Sabah hanya RM1.62 juta, tetapi anggaran pendapatan daripada jualan balak itu mencecah RM27.75 juta.

Wong turut menggesa Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman membuat penjelasan mengenai kandungan surat tawaran konsesi balak itu dan jika ia membabitkan eksploitasi Yayasan Sabah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.