
Pasukan penyiasat sedang mengumpul maklumat serta bukti berhubung pembayaran itu dan juga kontrak yang dianugerahkan kepada Jana Niaga.
Menurut sumber, pasukan penyiasat sudah mengenal pasti beberapa orang saksi yang dipercayai boleh membantu siasatan SPRM berhubung kes itu.
“Saksi-saksi akan mula dipanggil dalam masa terdekat untuk dirakam percakapan bagi membantu melengkapkan kertas siasatan,” kata Pengarah Jabatan Siasatan SPRM Datuk Simi Abd Ghani ketika dihubungi.
Semalam, SPRM menyerbu dan menggeledah 5 lokasi serentak bagi menyiasat pertikaian kontrak membabitkan universiti itu dengan Jana Niaga, yang menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan kediaman pelajar di kampus induk Unisel Bestari Jaya.
Lokasi yang diserbu ialah kampus Unisel di Seksyen 7, Shah Alam dan Bestari Jaya, Kuala Selangor; pejabat MBI di Bangunan Darul Ehsan, Seksyen 14, Shah Alam; dan pejabat Jana Niaga di Bestari Jaya dan Desa Pandan, Kuala Lumpur.
Menerusi maklumat awal yang diperolehi oleh SPRM, MBI membayar duit tersebut kepada Jana Niaga sedangkan syarikat tersebut telah ditamatkan kontrak oleh Unisel. Menurut sumber, MBI membuat bayaran kepada Jana Niaga menerusi 2 transaksi iaitu sebanyak RM10 juta pada 2015 dan RM6 juta pada 2016.
Menurut sumber itu lagi, siasatan SPRM menjurus kepada punca pembayaran tersebut sedangkan Jana Niaga gagal melaksanakan kontrak yang diberikan mengikut kontrak perjanjian pelaksanaan kerja-kerja di Unisel sekitar 2012.
MBI menafikan pernah membuat bayaran RM60 juta kepada bekas kontraktor itu, dan berkata mahkamah tidak pernah memutuskan kontraktor, dan Unisel, melakukan kesalahan.
Unisel: SPRM bawa keluar 1 kotak dokumen dari pejabat MBI Selangor
Siasatan lebih 6 jam, SPRM tinggalkan Unisel dengan 4 kotak dokumen