Sedia beri kerjasama kepada SPRM, kata Unisel, MBI

Sedia beri kerjasama kepada SPRM, kata Unisel, MBI

MBI dan UNISEL sedia mengemukakan semua bukti serta memberikan kenyataan bagi membantu siasatan kes tersebut.

sprm
SHAH ALAM: Menteri Besar Diperbadankan (MBI) Selangor dan Universiti Selangor (Unisel) akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung siasatan dakwaan penyelewengan pembayaran RM16 juta oleh MBI kepada sebuah syarikat swasta.

Ketua Pegawai Eksekutif MBI Raja Shahreen Raja Othman dan Presiden Unisel Prof Datuk Dr Mohammad Redzuan Othman berkata mereka juga bersedia mengemukakan semua bukti serta memberikan kenyataan bagi membantu siasatan kes tersebut.

Menurut kenyataan bersama itu hari ini, MBI dan anak-anak syarikat sentiasa mengamalkan konsep ketelusan dan keterbukaan dalam pentadbiran organisasi berlandaskan kepada struktur tadbir urus korporat yang baik.

“Beberapa siri perundingan dan perbincangan dilaksanakan oleh Unisel dan MBI, yang mana terdapat beberapa perkara yang diperhalusi dan diteliti oleh kedua-dua belah pihak dalam mencari penyelesaian sekaligus memastikan kelangsungan operasi Unisel tidak terjejas.

“Dalam mencari jalan penyelesaian ini, asas pertimbangan utama yang dititikberatkan adalah untuk memastikan Unisel dapat menyediakan perkhidmatan pendidikan terbaik dan supaya kebajikan pelajar di Unisel dapat dibela,” kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu ia selaras dengan keputusan Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan bahawa pertikaian tersebut tidak perlu dirujuk kepada mahkamah sebaliknya dirujuk kepada jawatankuasa penyelesaian pertikaian atau melalui proses timbang tara seperti yang terkandung mengikut perjanjian konsesi yang dimeterai Unisel dan syarikat terbabit.

Semalam, SPRM menggeledah 5 premis di 5 lokasi untuk mendapatkan maklumat dan dokumen bagi membantu siasatan dipercayai berhubung penyelesaian pertikaian kontrak di antara Unisel dan syarikat swasta tersebut.

Lima lokasi yang diserbu pasukan siasatan SPRM adalah pejabat Unisel di Shah Alam dan Bestari Jaya, pejabat syarikat itu di Desa Pandan, Kuala Lumpur dan Bestari Jaya serta pejabat MBI di Seksyen 14, Shah Alam.

Syarikat swasta itu dikatakan menjalankan kerja penyelenggaraan kediaman pelajar di kampus induk Unisel di Bestari Jaya, Kuala Selangor.

Pengarah Jabatan Siasatan SPRM Datuk Simi Abd Ghani dilaporkan berkata pasukan penyiasat pergi ke lokasi berkenaan untuk mendapatkan dokumen berhubung siasatan kes tersebut selepas menerima maklumat mengenainya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.