
Pelari berusia 19 tahun dari Melaka, muncul juara selepas melintas garisan penamat acara riben biru itu dalam masa 10.38s, mengatasi juara bertahan Eric Cray dari Filipina yang terpaksa berpuas hati dengan tempat kedua dengan catatan 10.43s.
Peserta dari Thailand, Kritsada Namsuwun yang turut mencatatkan 10.43s terpaksa berpuas hati dengan pingat gangsa berdasarkan photo finish, manakala seorang lagi wakil negara, Jonathan Nyepa dari Sarawak menamatkan larian di tempat kelima dalam masa 10.66s.
Bagaimanapun, hasrat Khairul Hafiz, pemilik rekod kebangsaan dengan masa 10.18s itu untuk memecahkan rekod Sukan SEA milik Suryo Agung Wibobo (10.17s) dari Indonesia yang dicatatkan pada edisi 2009 di Laos tidak kesampaian.
Khairul Hafiz mara ke final selepas mencatatkan masa terpantas pada pusingan separuh akhir kedua dengan catatan masa 10.34s, manakala Jonathan pula mencatatkan 10.60s pada separuh akhir pertama.
Hari ini, Khairul Hafiz akan beraksi dalam acara 200m.
Sementara itu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini mengucapkan tahniah kepada Khairul Hafiz atas kejayaannya.
“Detik yang tersangat bangga untuk Malaysia. Saudara Khairul menjadi juara pecut Asia Tenggara.
“Satu lagi emas utk Malaysia! Tahniah Khairul Hafiz Jantan Raja Pecut Asia Tenggara ! #KL2017 #BangkitBersama #Kebanggaanku,” kata Najib menerusi catatan di laman Twitter rasmi beliau.